Rosma Zulaiha Zulkefeli, 28, (dua, kiri) bersama adiknya Adam Izham, 14, (kiri) berada di rumah mereka yang ditenggelami banjir ketika tinjauan di Kampung Nyatuh hari ini. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir memburuk di Kelantan dan Terengganu

KOTA BHARU, 2 DIS: Keadaan banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk tengah hari ini, apabila lebih ramai penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kedua-dua negeri berkenaan, manakala pulih di Pahang selepas kesemua mangsa banjir pulang ke rumah masing-masing.

Di Kelantan, mereka yang dipindahkan meningkat kepada 7,366 orang daripada 2,318 keluarga sehingga pukul 1 tengah hari ini, berbanding 5,636 orang daripada 1,621 keluarga (7 pagi) dengan dua jajahan baharu dilanda banjir, iaitu Tumpat dan Jeli.

Berdasarkan Aplikasi InfoBencanaJKM, seramai 3,763 mangsa daripada 1,347 keluarga dipindahkan di Pasir Mas dan ditempatkan di 22 PPS.

Ia diikuti dengan Kota Bharu membabitkan seramai 821 mangsa (229 keluarga) di enam PPS, 971 mangsa (231 keluarga) di 17 PPS di Kuala Krai dan 664 mangsa (178 keluarga) di tujuh PPS di Pasir Puteh.

Sementara itu seramai 426 mangsa (125 keluarga) menghuni sembilan PPS Tanah Merah, 260 mangsa (61 keluarga) ditempatkan di dua PPS di Bachok dan 227 mangsa (78 keluarga) ditempatkan di tiga PPS di Jeli.

Manakala terdapat 225 mangsa (67 keluarga) di enam PPS di Machang, dan sembilan mangsa daripada dua keluarga di sebuah PPS di Tumpat.

Dalam perkembangan sama, berdasarkan laman sesawang forecast.water.gov.my Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas menurun kepada 10.45 meter (m) berbanding 10.47m pagi tadi, tetapi masih melepasi paras bahaya 9m.

Kelihatan beberapa penduduk bermain sampan apabila air Sungai Golok mula melimpahi sekitar Pekan Rantau Panjang ketika tinjauan pada 1 Disember 2019. Foto BERNAMA

Tiga sungai lain yang juga melepasi paras bahaya ialah Sungai Golok di Jenob, Tanah Merah pada bacaan 24.37m (23.5m), Sungai Kelantan di Kuala Krai pada paras 25.23m (25m) dan Sungai Kelantan di Kusial, Tanah Merah, pada paras 16.12m (16m).

Dua sungai pula melepasi paras amaran iaitu Sungai Lebir di Tualang pada paras 33.74m (31m) dan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat di paras 2.48m (2.15m).

Tiga sungai yang melepasi paras berjaga-jaga pula ialah Sungai Galas di Limau Kasturi, Gua Musang pada paras 56.48m (56m), Sungai Galas di Dabong, Kuala Krai pada paras 34.27m (32m) dan Sungai Kelantan di Jeti Kastam, Kota Bharu pada paras 3.37m (3.0m).

Sementara itu di Terengganu jumlah mangsa banjir meningkat kepada 5,935 orang daripada 1,796 keluarga di 126 PPS pada tengah hari ini berbanding 5,807 orang (1,719 keluarga) di 121 PPS pagi tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata Besut terus merekod peningkatan jumlah mangsa kepada 1,927 orang (520 keluarga) di 52 PPS berbanding 1,787 orang (484 keluarga) di 45 PPS pagi tadi.

“Di Setiu pula, jumlah mangsa turut merekod peningkatan kepada 1,795 orang (545 keluarga) di 31 PPS berbanding 1,691 orang (523 keluarga) di 28 PPS pagi tadi, bagaimanapun di Hulu Terengganu, mencatat sedikit penurunan kepada 1,600 orang (563 keluarga) berbanding 1,751 mangsa (553 keluarga) setelah tujuh PPS ditutup berperingkat pagi tadi,” katanya.

Di Dungun, jumlah PPS kekal di lapan lokasi dengan sedikit peningkatan mangsa iaitu 352 orang (101 keluarga) berbanding 343 mangsa (98 keluarga) sebelum ini, sementara di Kuala Nerus pula, jumlah mangsa naik ke 23 orang daripada lima keluarga berbanding 16 orang daripada tiga keluarga.

Penduduk Kampung Nyatoh menggunakan sampan membawa barangan keperluan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Kampung Nyatoh setelah kediaman mereka mula ditenggelami air pada 1 Disember 2019. Foto BERNAMA

Di Marang, dua PPS kekal beroperasi dengan menempatkan 71 mangsa (16 keluarga) manakala di Kemaman berlaku sedikit peningkatan mangsa kepada 167 orang (46 keluarga) di empat PPS berbanding 148 mangsa (42 keluarga) di tiga PPS pagi tadi.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawang http://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula melaporkan lima sungai di tiga daerah di Terengganu masih melepasi paras bahaya setakat ini.

Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu merekod bacaan 22.11m melepasi paras bahaya 21m, Sungai Chalok di Jambatan Chalok setinggi 8.46m (8.40m) dan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri setinggi 9.10m (8.80m).

Di Hulu Terengganu, Sungai Telemong di Kuala Ping mencatat bacaan 20.81m (19.7m), selain, Sungai Besut di Kampung La merekod bacaan 22.74m (21.8m).

Sementara itu banjir di Pahang pulih, apabila PPS di Kampung Janglau, Rompin dekat sini ditutup pada 12 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Zulkhairi Zainol Abidin berkata tiga mangsa yang mendiami PPS Balai Raya Kampung Janglau dibenarkan pulang memandangkan air di rumah mereka telah surut.

Mereka yang terdiri daripada sebuah keluarga merupakan mangsa pertama banjir di Pahang, selepas rumah mereka di Kampung Janglau 4 dinaiki air separas lutut, pagi semalam ekoran hujan berterusan sebelumnya.

-BERNAMA


Pengarang :