ADN Kota Anggerik, Najwan Halimi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Bantuan infrastruktur sekolah angkat agenda pendidikan Selangor – ADN

SHAH ALAM, 30 DIS: Program bantuan infrastruktur sekolah yang diperkenalkan Kerajaan Negeri mulai tahun ini disifatkan sebagai langkah ke hadapan dalam mengangkat agenda pendidikan sebagai teras utama pentadbiran di Selangor.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi berkata sumbangan itu diyakini mampu memberi impak besar terhadap sekolah yang berdepan kekangan dana, khususnya milik persendirian dalam usaha membaik pulih kemudahan sedia ada.

“Ini sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri untuk memberdaya institusi pendidikan memandangkan mereka (sekolah persendirian) bergerak atas dana sendiri dan tidak mendapat peruntukan langsung daripada kerajaan persekutuan.

“Saya berharap peruntukan ini sedikit sebanyak dapat digunakan sebaik mungkin bagi menambah baik mutu pendidikan, sekali gus menyampaikan perkhidmatan cemerlang kepada pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ramah Mesra (Networking) Bersama Penerima Bantuan Sekolah Negeri Selangor Fasa 2 2019 di Ballroom Dewan Jubli Perak di sini hari ini.

Terdahulu, sebanyak 401 sekolah seluruh Selangor menerima agihan dana berjumlah RM4.5 juta menerusi program itu dengan 12 daripadanya membabitkan sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik.

Ia meliputi Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Shah Alam; KAFA Integrasi Al-Ikhwan U10; KAFA Integrasi Al-Insan; SAR KAFA Integrasi Setia Alam; Sekolah Rendah Islam (SRI) Integrasi Pintar Bukit Jelutong dan SRI Al-Hijrah.

Najwan berkata semua sekolah dipilih selepas melalui proses penilaian yang ketat dengan mengambil kira keperluan menaik taraf prasarana supaya pelajar dapat menikmati pembelajaran yang kondusif dan selesa.

“Di DUN Kota Anggerik sahaja, banyak sekolah yang bersifat Sekolah Agama Rakyat (SAR), jadi kita melihat keperluan daripada sudut prasarana selain jumlah pelajar yang terdapat di sekolah-sekolah berkenaan,” katanya.


Pengarang :