AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Bekalan air di empat kawasan pulih sepenuhnya

SHAH ALAM, 25 DIS: Bekalan air di Kuala Langat, Hulu Langat, Sepang dan Putrajaya pulih sepenuhnya, sementara Petaling mencapai pemulihan 99.8 peratus, maklum Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Ketua Jabatan Komunikasi Korporatnya, Abdul Halem Mat Som berkata ekoran sebahagian besar kawasan sudah menerima bekalan air, beberapa Pusat Khidmat Setempat dan pili awam ditutup mulai 12 tengah hari ini.

Katanya jumlah lori tangki di kawasan yang sudah pulih juga dikurangkan dan sebahagiannya dihantar ke kawasan yang masih memerlukan bantuan.

“Pihak kami menjangkakan bekalan air di kawasan terjejas akan pulih sepenuhnya menjelang malam ini atau selewat-lewatnya sebelum tengah malam ini.

“Bagi pengguna yang masih berhadapan gangguan bekalan air boleh menghubungi Air Selangor di talian 15300 atau WhatsApp ke 019-281 6793 / 019-280 0919 untuk bantuan,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Halem turut mengucapkan terima kasih kepada pengguna terjejas yang memberi kerjasama baik kepada Air Selangor sepanjang krisis bekalan ini.

“Kami juga memohon kerjasama orang ramai untuk sama-sama menjaga sumber air mentah daripada dicemari dan laporkan kepada pihak berkuasa sekiranya melihat sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan pencemaran sungai,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh layari www.airselangor.com atau merrujuk aplikasi telefon pintar Air Selangor, Facebook dan Instagram.


Pengarang :