AGENDANASIONAL

Bekalan air mula pulih secara berperingkat

SHAH ALAM, 24 DIS: Gangguan bekalan air kepada pengguna yang terjejas ekoran pencemaran bau di Sungai Semenyih pulih secara berperingkat sejak pukul 1 pagi tadi dan masalah itu dijangka selesai sepenuhnya dalam tempoh 72 jam.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata, sebahagian kawasan berdekatan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah mula menerima bekalan air sejak awal pagi ini.

“Kakitangan Air Selangor dalam proses menstabilkan tekanan di jajaran paip utama serta kolam-kolam utama. Pemulihan bekalan air kepada pelanggan akan berlaku secara berperingkat bergantung kepada kedudukan geografi dan altitud premis pelanggan.

“Kawasan yang berhampiran dengan sistem agihan dijangka menerima bekalan lebih awal dan begitu juga sebaliknya,” kata kenyataan itu hari ini.

Bagaimanapun, kata kenyataan itu, LRA Bukit Tampoi belum beroperasi kerana pencemaran bau masih dikesan di muka sauk dan bantuan kecemasan melalui lori-lori tangki air akan terus digerakkan ke kawasan terjejas.

Dalam kenyataan sama, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) turut mengesahkan ujian dan pemantauan ke atas kualiti air secara berkala di Loji Rawatan Air dan di Kolam Imbangan air yang dirawat mematuhi piawaian selain tiada bau dikesan.

Pada Sabtu lepas LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang berpunca akibat perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang membuang bahan sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembentungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) itu.

Susulan penutupan itu, sebanyak 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terputus bekalan air.


Pengarang :