Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyerahkan surat lantikan kepada Ahmad Suaidi Abdul Rahim (kanan) sebagai SUK Perak yang baharu pada 17 Disember 2019. Foto Pejabat SUK Perak
AGENDANASIONAL

Bekas Pengarah UPEN Selangor dilantik SUK Perak

SHAH ALAM, 19 DIS: Bekas Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Perak.

Menurut kenyataan Bahagian Korporat Pejabat SUK Perak, Ahmad Suaidi, 49, telah memulakan tugas baharunya mulai hari ini.

Lantikan itu turut mendapat perhatian Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari apabila beliau merakamkan ucapan tahniah kepada Ahmad Suaidi menerusi laman Facebooknya.

“Saya mengenali beliau (Ahmad Suaidi) sebagai seorang penjawat awam yang cekap, cemerlang dan berdedikasi. Kami mengucapkan tahniah dan selamat bertugas,” tulisnya.

Sementara itu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut berbangga dengan pencapaian Ahmad Suaidi.

Mohamed Azmin yang juga mantan Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, beliau pernah berkhidmat bersama Ahmad Suaidi ketika mentadbir Kerajaan Selangor.

“Sumbangan beliau kepada pembangunan ekonomi Selangor adalah tidak ternilai. Tahniah kepada Dato’ Ahmad Suaidi,” tulisnya di Facebook.

Selepas memegang jawatan sebagai Pengarah UPEN Selangor, Ahmad Suaidi kemudiannya berkhidmat sebagai Datuk Bandar Ipoh pada 1 Julai lalu.

Dilahirkan pada 11 Mac 1970 di Pantai Remis, Perak, beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) pada 15 Januari 1996.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Negeri Selangor, Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor dan Pegawai Daerah di Hulu Selangor dan Gombak.

Ahmad Suaidi mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Informasi Global dan Telekomunikasi dari Universiti Waseda, Jepun dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) Bioteknologi dari Universiti Putra Malaysia.


Pengarang :