Selangorkini
(Hiasan) Seorang pesara tentera dan isterinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Ipoh pada 25 Mei 2022 atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan yang juga anak saudara mereka. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Bicara kes pengubahan wang haram peguam Hafarizam bermula 8 Jun 2020

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Perbicaraan kes Penasihat Undang-Undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun, yang mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta akan bermula 8 Jun tahun depan di Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menetapkan 12 hari bermula 8 Jun selama tiga minggu berturut-turut kecuali Jumaat untuk perbicaraan kes peguam itu yang banyak mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes sivil semasa beliau menjadi perdana menteri.

Timbalan Pendakwa Raya Ashrof Adrin Kamarul, memaklumkan bahawa kes itu diputuskan untuk dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dua minggu lalu.

Katanya pihak pendakwaan telah menyerahkan kesemua dokumen berkaitan kes kepada Mohd Hafarizam, 47, sejak April lalu dan akan memanggil sekurang-kurangnya 30 saksi pendakwaan dalam perbicaraan tersebut.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mohd Hafarizam berkata pihaknya akan membuat permohonan untuk mendapatkan butiran mengenai kesalahan anak guamnya yang tidak diperincikan di dalam pertuduhan.

“Dalam kes ini anak guam saya menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 tanpa sebarang kesalahan predikat namun tidak dizahirkan di dalam pertuduhan mengenai butiran itu,” katanya.

Terdahulu Mohd Hafarizam mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan semula terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah semasa pengurusan kes itu.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa mendeposit dua keping cek daripada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berjumlah RM11.5 juta ke dalam akaun bank milik firma guamannya, Hafarizam Wan & Aisha Mubarak, antara 16 April dan 4 Nov, 2014.

Bagi pertuduhan kedua, peguam itu dituduh mendeposit cek bernilai RM3.5 juta daripada Najib ke dalam akaun sama pada 12 Februari 2015.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

-BERNAMA


Pengarang :