AGENDANASIONAL

Bilangan wanita sertai bomba masih kecil

MARANG, 17 DIS: Bilangan anggota dan pegawai wanita dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara pada masa ini masih kecil iaitu seramai 647 orang daripada jumlah keseluruhan 14,500 anggota.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, bagaimanapun, terdapat peningkatan ketara jumlah pelatih pada tahun ini iaitu seramai 44 orang berbanding hanya dua orang pada tahun lalu.

“Saya galakkan pasukan JBPM untuk rekrut lebih ramai bomba wanita kerana mereka ada ruang dan tugas-tugas khusus dalam jabatan ini (JBPM) yang memerlukan sentuhan wanita.

“Sebagai contoh tugas-tugas seperti menyantuni mangsa trauma dan kerja-kerja kesedaran awam yang boleh kita beri tumpuan khusus kepada bomba wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Kursus Sijil Sains Kebombaan Siri 1/2019 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, di Wakaf Tapai, hari ini.

Seramai 689 pelatih menerima sijil tamat kursus yang disampaikan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Mohamad Hamdan Wahid.

Selain itu, Zuraida berkata, semakin ramai penuntut lepasan diploma dan ijazah memilih bidang kebombaan sebagai kerjaya masa depan.

Beliau berkata, perkembangan itu jelas menunjukkan bahawa kerjaya bomba bukan lagi dianggap sebagai pekerjaan kelas kedua, sebaliknya pilihan utama ramai graduan di luar sana.

“Lebih 100 pelatih yang menjalani latihan pada tahun ini terdiri daripada lepasan diploma sementara pemegang ijazah pula seramai 30 graduan dalam pelbagai bidang.

“Ini adalah suatu kebanggaan kerana kita lihat ada trend daripada pemegang diploma dan ijazah yang semakin berminat menjadikan bomba sebagai kerjaya pilihan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zuraida berkata, keadaan banjir di seluruh negara masih terkawal dan dapat ditangani dengan baik oleh pihak JBPM di setiap negeri terjejas seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Sabah.

Kejayaan itu menurut beliau adalah hasil usaha pihak JBPM dan agensi-agensi lain yang membuat persiapan rapi lebih awal daripada aspek kelengkapan, aset dan juga tenaga anggota.

“Buat masa ini belum ada keperluan untuk gerakkan bomba dari seluruh negara kerana keadaan masih terkawal. Bagaimanapun, JBPM di seluruh negara telah bersiap sedia untuk ditugaskan bagi membantu mana-mana negeri yang dilanda banjir teruk.

“Sekarang ini pun kita masih bekukan cuti anggota dan pegawai JBPM sehingga bulan Mac, tetapi kita beri pengecualian bagi kumpulan-kumpulan tertentu seperti (anggota) di Sabah dan Sarawak yang akan menyambut Krismas,” katanya yang turut menempatkan helikopter di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur bagi menghadapi banjir di Pantai Timur.

Zuraida berkata, pihaknya juga bercadang untuk menambah lapan lagi aset helikopter termasuk helikopter ambulans yang mempunyai kelengkapan perubatan kecemasan lengkap seperti ambulans pada tahun hadapan.

“Kerajaan sedang membuat penyelarasan di mana semua keperluan helikopter untuk agensi kerajaan sama ada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan dikaji.

“Ada kemungkinan untuk kita benarkan syarikat dari Rusia untuk buka hab pembuatan helikopter di Malaysia dan di situ kita boleh manfaatkan untuk dapatkan harga pembelian helikopter dan kos servis yang lebih rendah,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :