Foto Instagram Brendan Gan
PENDAPATRENCANA

Brendan Gan dahului senarai terhangat perpindahan Selangor

SHAH ALAM, 5 DIS: Perpindahan pemain sebelum menjelang musim Liga Malaysia 2020 menyaksikan pasukan Selangor paling meraih tumpuan peminat bola sepak tempatan.

Hal ini berikutan status Selangor merupakan pasukan dalam proses transformasi dengan menjadikan PKNS FC sebagai kelab ‘feeder’ di bawah teraju Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Selain itu, sebagai pasukan yang memiliki skuad simpanan, Selangor turut dijangka memerlukan skuad lebih besar berbanding tahun sebelumnya.

Setakat artikel ini ditulis, perpindahan pemain kebangsaan, Brendan Gan ke Selangor merupakan pengumuman paling sensasi setakat ini.

Brendan Gan meninggalkan pasukan Perak bagi mengisi slot pemain tempatan untuk pasukan yang menjadikan Stadium Shah Alam sebagai gelanggangnya.

Pengumuman rasmi yang cukup mengujakan penyokong setia merah kuning itu dibuat pada 1 Disember lalu menerusi satu video yang dilancarkan di laman rasmi facebook FAS.

Sebelum itu, desas-desus perpindahan pemain itu sudah bertiup kencang sejak beliau masih bersama kem pasukan Harimau Malaya yang sedang mengharungi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 lagi.

Kemasukkan beliau dijangka memberi impak besar di bahagian tengah pasukan Gergasi Merah pada musim hadapan.

Selangor meneruskan usaha memantapkan pasukan apabila menandatangani seorang lagi bekas pemain Perak, Nor Hakim Hassan.

Sebelum ini pemain berusia 28 tahun itu bersama pasukan Perak selama dua musim.

Selangor turut menandatangani pemain berdarah kacukan Malaysia-Ghana kelahiran Sarawak, Rodney Celvin Akwensivie.

Di peringkat dalam negara, Rodney pernah bersama pasukan Sarawak dan PKNS FC.

Manakala di peringkat antarabangsa, beliau pernah menganggotai skuad kebangsaan di bawah kendalian Tan Cheng Hoe dan skuad bawah 23 tahun bersama Datuk Ong Kim Swee.

Pihak pengurusan dan barisan kepimpinan FAS turut mengekalkan kontrak beberapa pemain yang dilihat mampu membawa impak positif bagi pasukan Red Giants untuk musim 2020.

Penyerang prolifik, Ifedayo Olusegun dan Rufino Segovia diumumkan kekal bersama Selangor bagi musim 2020.

Ifedayo bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak Malaysia di mana pemain berasal dari Nigeria ini telah menempa nama di Malaysia sejak tahun 2017 bersama pasukan Melaka United dan Felda United.

Manakala Rufino pula sudah membuktikan bisanya di hadapan gol lawan sejak musim 2017 lagi bersama Selangor.

Manakala pemain pertahanan, Prabakaran atau Praba yang juga tidak asing bagi penyokong Selangor turut dikekalkan.

Praba telah membuat penampilan sebanyak 22 kali bersama Selangor dengan mencatat dua ‘assist’ pada musim ini.

Sementara itu, dua pemain sayap, Khyril Muhymeen dan Wan Zack Haikal juga kekal bersama pasukan Gergasi Merah untuk musim 2020.

Pemain import tengah, Sandro Da Silva dan penjaga gol, Farizal Harun terus kekal bersama pasukan Gergasi Merah untuk musim 2020.

Pemain pertahanan lincah Selangor, Syahmi Safari dan penjaga gol, Haziq Ridwan turut diumumkan kekal bersama Selangor.

Setakat 5 Disember, pemain lain yang kekal bersama Selangor bagi musim hadapan adalah Halim Saari, Syukri Azman, Syazwan Zainon, Sarkunan Krishnansamy, Taylor Regan dan Sean Selvaraj.

Manakala pemain yang telah disahkan meninggalkan Selangor adalah Michal Nguyen, Endrick Dos Santos Parafita, Latiff Suhaimi, Faiz Nasir, Nurridzuan Abu Hassan, Azreen Zulkafali, Fandi Othman dan Nurhakim Isa.


Pengarang :