Pertunjukan bunga api pada upacara penutupan rasmi Sukan SEA Ke-30 di Stadium Olahraga New Clark City pada 11 Oktober 2019. -Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMASUKANKINI

Bunga api memukau akhiri Sukan SEA ke-30

NEW CLARK CITY, 11 DIS: Pertunjukan bunga api yang memukau, mewarnai keseluruhan Stadium Olahraga New Clark City yang berkapasiti 20,000, sewaktu Sukan SEA ke-30 di Filipina ditutup secara rasminya malam ini.

Majlis penutupan itu bermula dengan nyanyian lagu kebangsaan Filipina ‘Lupang Hinirang’, yang diketuai Arnel Pineda, penyanyi utama kumpulan rock Amerika, Journey dan diikuti persembahan mengunakan dron yang menarik selama 45 minit.

Penonton mula bersorak apabila perarakan kontinjen negara-negara perserta berarak masuk mengikuti abjad bermula dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Singapura, Thailand, Timor Leste dan Vietnam, sebelum pasukan tuan rumah memasuki sebagai pasukan terakhir.

Kontinjen Malaysia didahului dengan pembawa Jalur Gemilang, bekas atlet wushu kebangsaan Loh Jack Chang disertai 24 atlet termasuk timbalan chef de mission Nurul Huda Abdullah.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan sebuah konsert mini oleh Pineda bersama KO Jones Band sebagai menghargai petugas-petugas dan sukarelawan yang telah bertugas tanpa mengenal lelah sejak 1 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Alan Peter Cayetano dan Presiden Majlis Olimpik Abraham Tolentino kemudiannya menyampaikan empat anugerah khas, iaitu Atlet Lelaki Terbaik, Atlet Wanita Terbaik, Pasukan Terbaik dan Pemenang Pingat Emas Fair Play.

Salvador C. Medialdea, Setiausaha Eksekutif Pejabat Presiden Filipina, kemudiannya mengistiharkan Sukan SEA ke-30 secara rasminya ditutup sebelum, bendera Sukan SEA diturunkan dan obor kejohanan dipadamkan, menandakan berakhirnya Sukan itu.

Cayetano yang juga Speaker Dewan Perwakilan Filipina dan Tolentino, Presiden Persekutuan Sukan SEA Filipina kemudiannya menyerahkan bendera Sukan SEA kepada Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Vietnam, Nguyen Ngoc Tien, Presiden Jawatankuasa Olimpik Vietnam Prof Nguyen Danh Thai dan Timbalan Datuk Bandar Hanoi Nguyen Van Suu, sebelum bendera Vietnam dinaikkan.

Ia diikuti dengan persembahan kebudayaan Vietnam.

Acara kemuncak majlis penutup diserikan dengan persembahan penuh bertenaga band terkenal Amerika Syarikat Black Eyed Peas, menjadikan penonton kegembiraan sebelum diakhiri dengan persembahan bunga api.

Kontinjen negara berarak pada upacara penutupan rasmi Sukan SEA Ke-30 di Stadium Olahraga New Clark City pada 11 Oktober 2019. – Foto BERNAMA

Kontinjen Malaysia yang terdiri daripada 773 atlet dan 339 pegawai, mengakhiri kempen dengan 56 pingat emas, 58 perak dan 72 gangsa, jauh daripada sasaran asal 70-51-105.

Pasukan tuan rumah, Filipna menjuarai Sukan SEA kali ini, yang kedua selepas menjuarainya pada 2005, dengan 149 emas, 117 perak dan 121 gangsa, diikuti Vietnam (98-85-105) dan Thailand (92-103-123).

Lebih 8,000 atlet daripada 10 negara ASEAN dan Timor Leste mengambil bahagian dalam 530 acara dari 56 jenis sukan yang berlangsung di tiga cluster iaitu Manila, Clark dan Subic.

– BERNAMA


Pengarang :