AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Cadangan jadual perjalanan sempena Krismas – PLUS

KUALA LUMPUR, 21 DIS: PLUS Malaysia Bhd (PLUS) malam tadi mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) khusus buat pengguna Lebuh Raya Utara-Selatan, bagi tempoh 21 Disember hingga 1 Januari 2020, bagi mengurangkan kesesakan sempena musim perayaan Krismas dan sambutan Tahun Baharu 2020.

Ketua Pegawai Operasinya, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, bagi pengguna lebuh raya di Lembah Klang yang ingin menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor, mereka dinasihatkan untuk memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi.

“Sementara pelanggan yang menuju ke lain-lain destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang disarankan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, bagi pengguna lebuh raya dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Utara Perak dan Johor yang ingin memasuki kawasan Lembah Klang bagi tempoh yang sama, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya sebelum jam 9 pagi, manakala pengguna daripada lain-lain negeri atau destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang pula, dinasihatkan supaya memasuki lebuh raya selepas jam 3 petang.

“Kami amat menggalakkan pelanggan lebuh raya supaya merancang perjalanan mereka, berdasarkan jadual TTA yang dikeluarkan, untuk menikmati perjalanan yang lebih lancar,” katanya.

Beliau turut menasihati pengguna lebuh raya supaya menambah nilai kad Touch ‘n Go mereka lebih awal dan memastikan mempunyai nilai baki yang mencukupi untuk perjalanan yang selesa.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh merujuk kepada Jadual TTA yang disediakan PLUS, sempena perayaan Krismas dan Tahun Baharu 2020 itu menerusi laman web PLUS www.plus.com.my dan menyemak maklumat trafik terkini menerusi Twitter PLUSTrafik, atau papan tanda elektronik lebuh raya.

– BERNAMA


Pengarang :