Ketua Penolong UPEN Seksyen Sektorial, Aslynda Mohd Dahlan menyerahkan cenderamata kepada delegasi Nanning ketika lawatan mereka ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

CAEXPO: Selangor terima lawatan delegasi Nanning

SHAH ALAM, 18 DIS: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri hari ini menerima lawatan delegasi Nanning bagi mendapatkan maklum balas berhubung Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) yang berlangsung September lalu.

Delegasi itu disambut Setiausaha Kanan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar Desa dan Kampung Tradisi Hanafi Sudi dan Pengarah Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor Ahmad Khairo Othman, di sini.

Hanafi ketika ditemui berkata lawatan balas berkenaan susulan Kerajaan Negeri membuat kunjungan ke China tempoh hari bagi meneroka pasaran negara Tembok Besar itu.

“Pertemuan berjalan lancar dan sekali gus mewujudkan kerjasama erat antara Malaysia dan China serta landasan strategik bagi menggalakkan perdagangan, pelaburan dan pelancongan,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas mengapa China dipilih berbanding negara lain, Hanafi berkata negara itu berpotensi tinggi untuk diteroka oleh usahawan Selangor terutama berkaitan industri halal.

“Pasaran di negara lain juga banyak keistimewaan dan potensi masing-masing, namun buat masa ini kita lebih memfokuskan industri halal di Nanning, China,” katanya.

Dalam lawatan itu Nanning diwakili Naib Setiausaha Agung CAEXPO Shi Zuyao, Naib Pengarah Bahagian Hubungan Luar Huang Xin dan Naib Pengarah Bahagian Penerimaan Persidangan Xu Caihong.

Turut serta Naib Pengarah Bahagian Pameran Shi Ying, Pengarah Projek Kanan & Pegawai Perhubungan Kemboja Li Yufei dan Pengurus Projek & Pegawai Perhubungan Malaysia Zhang Wen.

CAEXPO bertujuan mengukuhkan perdagangan dua hala antara China dan ASEAN yang akan membawa impak luar biasa dengan perolehan tawaran perniagaan besar bersama rakan perdagangan.


Pengarang :