Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Lim Kok Wing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Disember 2019. Foto Pejabat Dato’ Menteri Besar
AGENDANASIONAL

Cipta peluang, nasihat MB kepada graduan

PUTRAJAYA, 19 DIS: Belia disaran untuk memberi peluang kepada diri sendiri bagi membuktikan kemampuan, sekali gus memenuhi impian masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, walaupun dianggap muda, namun cabaran itu tidak seharusnya mematahkan semangat belia untuk meraih cita-cita.

“Peluang bukan hanya diberikan kepada orang lain, tetapi memberikannya kepada diri sendiri. Memberi diri peluang untuk belajar dan berkembang kerana jika tidak, impian anda akan terkubur begitu sahaja,” katanya.

Sebahagian graduan bergambar pada Majlis Konvokesyen Universiti Lim Kok Wing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 19 Disember 2019. Foto Pejabat Dato’ Menteri Besar

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Universiti Lim Kok Wing di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini.

Amirudin berkata, semangat, cabaran dan cita-cita menjadi pegangannya sehingga hari ini yang menyaksikan beliau berada pada kedudukan sekarang.

Katanya, cabaran bukan hanya terletak pada daya ketahanan fizikal, kekal berkuasa atau bekerja dengan orang sekeliling, namun ia berkait dengan persepsi dan tanggapan.

“Sebagai salah seorang anggota Dewan Undangan Negeri dan Menteri Besar termuda, saya berdepan cabaran ini (sebagai pemimpin).

“Namun, saya ambil cabaran itu dan tunjukkan kepada mereka bahawa muda itu bukan masalah, sebaliknya kelebihan. Saya dapat menunjukkan tenaga dan kreativiti orang muda dan menjadikannya senjata rahsia saya.

“Begitu juga anda semua. Saya pasti orang akan meragui anda dan mempersoalkan kredibiliti anda tetapi ambillah ia sebagai titik tolak untuk mencari versi terbaik diri anda,” katanya.


Pengarang :