Kelihatan sebuah keluarga tidak melepaskan peluang bergambar dengan dekorasi menarik di sekitar Bukit Bintang sempena sambutan perayaan Hari Natal pada 25 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Cuti Krismas disambut dengan pelbagai aktiviti

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Gereja di sekitar ibu negara menjadi tumpuan penganut Kristian termasuk warganegara asing bagi mengikuti upacara keagamaan bersempena sambutan Hari Krismas hari ini.

Gereja Katolik St. Joseph di Sentul antara yang menjadi tumpuan penganut Kristian yang berada di ibu kota.

Kakitangan awam Christee Eve Majamin, 29, berkata, beliau bersama keluarganya berkunjung ke rumah ibadat berkenaan seawal jam 8 pagi untuk upacara keagamaan bersempena Krismas.

Katanya, sambutan Hari Krismas tahun ini disambut ala kadar kerana tidak dapat menyambutnya bersama saudara-maranya yang menetap di Kota Kinabalu, Sabah.

“Tahun ini saya ambil peluang raikan bersama suami sahaja …rasa macam mana tidak sambut Krismas dengan keluarga …tapi sama juga macam pagi-pagi Krismas yang lain kami memang akan ke gereja dulu.

“Semalam pun banyak acara-acara seperti bunga api, jualan jualan murah, jadi itu antara sebab kami buat kelainan sambut di Kuala Lumpur kali ini,” katanya yang ditemui di Gereja Katolik St. Joseph, Sentul.

Eline Marubin, 30, yang berasal dari Tambunan, Sabah pula tidak dapat balik ke kampung halaman kerana tidak sempat membeli tiket penerbangan.

“Sedih itu ada, sebab biasanya malam ambang Krismas (24 Dis), keluarga memang akan buat makan-makan dan semua akan pulang. Tapi sambut di sini pun saya okay kerana bukan kali pertama tidak balik kampung,” katanya.

Sementara itu, meskipun jalan-jalan utama di ibu negara agak lengang, tinjauan mendapati tempat-tempat tumpuan seperti kawasan rekreasi, pelancongan dan pusat beli-belah dipenuhi orang ramai.

Antara yang menjadi tumpuan ialah Zoo Negara yang menerima kehadiran pengunjung seawal 8.30 pagi.

Bagi Noraisah Mohammad Yusof, 37, dari Port Dickson, Negeri Sembilan, beliau mengambil kesempatan sempena cuti umum ini untuk mengadakan ‘family day’ bersama adik-beradiknya di Zoo Negara.

Menurutnya, beliau dan empat adik-beradik memilih untuk berkumpul di zoo yang menempatkan lebih 5,000 binatang daripada pelbagai spesies itu bagi merealisasikan hajat anak masing-masing untuk melihat haiwan kesukaan mereka secara dekat.

“Bukan senang nak kumpul kami semua dekat 30 orang, sekarang tengah cuti sekolah dan kebetulan hari ini cuti umum jadi semua buat keputusan untuk datang sini untuk habiskan masa bersama,” katanya.

Tinjauan di sebuah daripada pusat beli-belah di ibu negara mendapati pengunjung bersama keluarga masing-masing tidak melepaskan peluang merakam gambar dan video bersama dekorasi Krismas.

– BERNAMA


Pengarang :