Foto ihsan Facebook FA Selangor
AGENDASUKANKINI

Dari Semut Merah ke Gergasi Merah

SHAH ALAM, 10 DIS: Skuad Gergasi Merah dijangka mampu mencetuskan impak besar bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan apabila ‘ayam tambatan’ PKNS FC, Nicholas Nick Swirad sah menyertai pasukan itu.

Penghijrahan pemain kelahiran Manchester untuk mengemudi jentera pertahanan pasukan itu diumum Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menerusi laman sosial rasmi mereka hari ini.

Pertahanan berusia 28 tahun itu juga memiliki susur galur Malaysia melalui ibunya yang berasal dari Pulau Pinang.

“Karier bola sepak profesional Swirad bermula sejak empat tahun lalu bersama pasukan Northern Rangers selepas lapan tahun bermain di non-league football di tempat kelahiran beliau.

Foto ihsan Facebook FA Selangor

“Bersama Northern Rangers, Swirad berjaya mencatat 13 penampilan dan menjaringkan dua gol,” tulis kenyataan dimuat naik di laman sosial rasmi kelab itu.

Beraksi sebagai pemain bek sisi, Swirad juga diharap dapat membentuk gandingan mantap bersama Taylor Regan dan bekas rakan sepasukannya di PKNS, Rodney Calvin.

Untuk rekod, selain beraksi bersama pasukan Semut Merah, Swirad pernah menyarung jersi Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada 2016 sebelum kudratnya dipinjamkan ke Melaka United selama semusim pada tahun lalu.

Tidak lama bersama Melaka United, Swirad kemudian dilamar pasukan kendalian Datuk K Rajagopal untuk memperkuat benteng PKNS FC.

Difahamkan, sebelum ini Swirad pernah dipanggil menyertai kem skuad kebangsaan untuk menghadapi kejohanan empat negara, Piala AIRMARINE 2019 pada April lalu.

Swirad menjadi rekrut kelima buat Selangor untuk musim 2020 selepas membawa masuk Rodney Calvin, Brendan Gan, Nor Hakim Hassan dan Tauffiq Ar Rasyid Johar.

 


Pengarang :