Selangorkini
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Dasar Perlindungan Sosial Kebangsaan dirangka

PUTRAJAYA, 12 DIS: Satu Dasar Perlindungan Sosial Kebangsaan sedang dirangka supaya selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) serta dasar-dasar semasa berkaitan.

Dasar itu merangkumi aspek pencegahan, perlindungan, promosi dan transformasi, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Timbalan Perdana Menteri sempena mesyuarat pertama Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Dr Wan Ismail hari ini.

MySPC merupakan badan induk penyelarasan dasar dan program bagi memperkasa sistem perlindungan sosial negara.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri itu, melalui MySPC, program perlindungan sosial sedia ada dan baharu akan juga dirasionalisasi.

“Ia bagi memastikan sumber kewangan digunakan secara optimum dan bantuan atau insentif yang disediakan dapat diagihkan secara efisien serta mampu memberi impak yang disasarkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pada tahun ini, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM22.27 bilion bagi melaksanakan lebih 120 program bantuan sosial di 21 kementerian dan agensi.

Mengenai hasil mesyuarat hari ini, antara lain empat jawatankuasa yang diwujudkan akan diterajui kementerian dan jabatan berkaitan.

Bagi Jawatankuasa Kerja Bantuan Sosial, ia diterajui oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang melibatkan merasionalisasi dan memperkasa program bantuan sosial dengan memberi fokus kepada kelangsungan hidup, mobiliti sosial dan nilai tambah.

“Penyelarasan adalah ke atas semua program dan aktiviti berkaitan program bantuan sosial oleh pelbagai kementerian dan agensi. Kumpulan sasar adalah dalam kalangan B40 dengan tumpuan kepada golongan miskin dan miskin tegar,” katanya.

Jawatankuasa Kerja Insurans Sosial pula diterajui oleh Kementerian Kewangan yang akan melibatkan pembaharuan kerangka insurans sosial, pencen dan persaraan dengan skim perlindungan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ditambah baik dan diperluas kepada semua rakyat Malaysia, katanya.

Jawatankuasa Intervensi Pasaran Buruh pula diterajui oleh Kementerian Sumber Manusia akan mensasarkan pasaran buruh yang aktif dan inklusif dengan meningkatkan penyertaan dan mengekalkan kumpulan sasar dalam pasaran buruh.

“Ia akan dilaksanakan melalui intervensi kepada penempatan pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan semula kemahiran, gaji minimum serta penggajian semula pesara atau warga emas,” katanya.

Jawatankuasa Kerja Pengurusan Data pula diterajui oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melibatkan pembangunan Sistem Perlindungan Sosial Kebangsaan (SPSK).

“Sistem ini akan menyimpan dan mengurus semua data berkaitan perlindungan sosial yang komprehensif merentasi agensi yang akan digunakan secara efektif dalam program perlindungan sosial,” katanya.

Menurut kenyataan itu, fokus pelaksanaan enam bulan pertama ialah pengumpulan dan pengesahan data penerima-penerima bantuan sementara sistem baharu dibangunkan yang akan dilakukan dengan kerjasama KWSP, Perkeso, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

– BERNAMA


Pengarang :