AGENDAGLOBAL

Dasar Trump ke atas Korea Utara dilihat gagal

WASHINGTON, 24 DIS: Dasar Korea Utara Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelihatan menuju kegagalan dan negara Komunis itu semakin menjadi ancaman terhadap tentera dan sekutu AS, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan bekas pegawai pada Isnin.

John Bolton yang berkhidmat sebagai penasihat keselamatan kebangsaan Trump sehingga September lalu, membuat kenyataan itu menerusi status media sosial Twitter ketika ketegangan memuncak ekoran ancaman Korea Utara untuk menghantar ‘hadiah Hari Natal’ kepada AS sebagai bantahan terhadap kebuntuan rundingan damai pelucutan senjata nuklear.

“Kita sering berkata adalah tidak wajar Korea Utara memperoleh senjata nuklear tetapi buat masa ini kata-kata itu lebih kepada retorik berbanding dasar sebenar,” tulis Bolton yang meninggalkan pentadbiran Trump selepas beberapa perbalahan mengenai dasar Presiden, termasuk isu Korea Utara.

“Risiko terhadap AS dan sekutunya semakin nyata dan lebih banyak dasar efektif diperlukan sebelum Korea Utara memiliki teknologi yang dapat mengancam bumi AS,” katanya.

Bolton turut memasukkan pautan temu ramah beliau dengan penerbitan Axios. Dalam temu ramah itu beliau bercakap mengenai kegagalan dasar pentadbiran Trump di Korea Utara dan kemungkinan keperluan untuk presiden itu membuat pengakuan beliau sudah tersalah langkah.

“Gambaran kita seakan memberikan tekanan maksimum terhadap Korea Utara, tetapi hakikatnya ia tidak benar,” kata Bolton dalam temu ramah itu.

Dalam temu ramah dengan NPR minggu lalu, Bolton mengulangi pandangannya bahawa beliau tidak merasakan Korea Utara akan menamatkan impian memiliki senjata nuklearnya secara sukarela.

– BERNAMA


Pengarang :