PENDAPATRENCANA

DBP terus martabat bahasa Melayu dalam pelbagai sektor

Oleh Lucia Terey John

JOHOR BAHRU, 12 DIS: Pelbagai aktiviti dan kempen dilakukan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk terus menggalak dan memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam pelbagai sektor yang menjadi wasilah perpaduan rakyat Malaysia.

Antaranya termasuk mengadakan Gerakan Dekad Bahasa Kebangsaan (GDBK) yang telah melalui beberapa penjenamaan dalam usaha untuk menjadikan bahasa kebangsaan terus relevan merentas peredaran masa.

Menurut Pengarah DBP Wilayah Selatan Norhafizah Mohamed Husin, GDBK adalah kesinambungan kepada gerakan atau kempen bahasa kebangsaan yang telah digagaskan DBP sejak tahun 60-an.

Kempen melalui pelbagai penjenamaan

Dalam satu temu bual dengan Bernama baru-baru ini, Norhafizah berkata sebelum ini, GDBK dikenali sebagai Minggu Bahasa Kebangsaan dan Bulan Bahasa Kebangsaan, kemudian diubah nama menjadi Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) mulai tahun 1987 hingga 1996; kemudian sebagai Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) dari tahun 1996 hingga 2005 dan Minggu Sastera pada tahun 1987 hingga 1998.

Pada tahun 1999 pula, bagi mengembangkan penggunaan bahasa kebangsaan, kempen berkenaan dinamakan sebagai Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN) dengan program BBSN pertama dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pada tahun 2009 hingga 2017, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, BBSN sekali lagi melalui proses penjenamaan semula sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) dan kemudian diubah sebagai GDBK pada tahun 2018 seiring dengan hasrat pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Norhafizah berkata biar apa pun nama diberikan, GDBK tidak lari daripada matlamat asalnya untuk mendekati dan menyantuni segenap masyarakat termasuk syarikat-syarikat swasta agar mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan iaitu bahasa Melayu dalam urusan seharian sama ada rasmi ataupun tidak.

Bahasa Melayu katanya berperananan untuk mengerak dan memperkukuhkan perpaduan bangsa pelbagai kaum di Malaysia serta wajar dilestarikan sebagai bahasa kelas dunia yang praktikal dan realisitik.

Bahasa Melayu belum dilestari sebagai bahasa ilmu, komunikasi

Menurut Norhafizah, meskipun negara sudah mencapai usia 62 tahun kemerdekaan, bahasa kebangsaan sebenarnya masih belum dilestarikan sepenuhnya, apatah lagi dijadikan sebagai bahasa ilmu tinggi dan bahasa komunikasi.

Demi mencapai cita-cita itu, katanya masyarakat seharusnya sudahpun menanamkan sikap cintakan bahasa kebangsaan agar dapat menjadi lambang ketinggian jati diri mereka.

Justeru dalam hubungan ini, beliau berkata usaha untuk memasyarakatkan bahasa kebangsaan masih perlu diperkasakan dalam segala bidang mencakupi pendidikan, perundangan, sains dan teknologi, perdagangan, teknologi maklumat dan perkhidmatan kewangan.

Selain itu, katanya pelbagai pihak perlu diberi motivasi untuk menghargai bahasa Melayu sebagai rumpun bahasa dunia agar usaha mermartabatkannya dapat dijayakan.

“Era digital dengan kepesatan pengguna media sosial telah meletakkan bahasa kebangsaan berdepan cabaran yang lebih pesat, menyebabkan keracunan bahasa berlaku dengan begitu meluas dalam kalangan masyarakat.

“Oleh demikian, usaha menggiatkan penggalakan ke arah memartabatkan bahasa kebangsaan perlu dilaksanakan lebih terancang dan mendepani pendekatan sohor kini,” katanya.

Namun begitu, beliau mengakui bukan mudah untuk melaksanakan usaha terbabit kerana terdapat beberapa rintangan yang harus diharungi.

Cabaran semasa, sektor swasta agungkan bahasa Inggeris

Dalam hal ini, sikap sektor swasta yang kurang peduli dengan penggunaan bahasa Melayu turut menyebabkan segelintir masyarakat kurang yakin untuk menggunakan bahasa Melayu dan lebih mengagungkan bahasa Inggeris, ditambah dengan pensyarah universiti yang kurang proaktif menggunakan bahasa kebangsaan.

Malah, perubahan dasar pendidikan negara yang sering berlaku dalam hal bahasa pengantar pendidikan sekolah dan universiti, penerbitan dan terjemahan dalam bahasa Melayu yang tidak menyerlah dan kekurangan penguatkuasaan undang-undang dalam penggunaan bahasa Melayu juga dilihat sebagai antara cabaran dalam merealisasikan usaha berkenaan, kata Norhafizah.

“Akta Pendidikan 1961 dan 1996 memaktubkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa pengantar pendidikan. Perkara 152 (1) juga memaktubkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kerajaan.

“Oleh itu, sekiranya kita mencintai bahasa kebangsaan, tiada alasan untuk kita tidak mampu memartabatkan bahasa Melayu,” katanya.

Tetapi apabila berbuat begini, ia tidak bermakna bahawa DBP melarang atau tidak menggalakkan rakyat Malaysia mempelajari dan menggunakan bahasa asing, tambahnya.

“Ia bermaksud, dalam mempelajarinya (bahasa asing), kita sebagai rakyat Malaysia harus ada citra sendiri supaya dari situ bahasa kebangsaan akan ada sentiasa dalam sanubari,” katanya.

Tahap penguasaan rakyat baik

Ditanya tentang bagaimana tahap penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia, Norhafizah berkata secara dasarnya, kebanyakannya sudah menguasai bahasa itu dengan baik bagi urusan seharian.

“Cuma hanya tinggal hendak meningkatkan lagi fungsi penggunaan bahasa tersebut. Ini kerana setakat ini, fungsinya dilihat agak terhad dan belum lagi digunakan secara menyeluruh terutama sebagai bahasa ilmu dan kemajuan,” katanya.

Berbeza pula dengan bahasa Inggeris, ia sentiasa mendahului pelbagai perkara termasuk digunakan sebagai bahasa ilmu dan penciptaan teknologi.

“Masyarakat Malaysia masih belum ke arah itu. Sebab itulah kita sekarang hendak memandaikan dan menjadikan bahasa Malayu sebagai bahasa pencipta supaya kita dapat mengangkat bahasa kebangsaan ke peringkat lebih teringgi seiring dengan kemajuan teknologi,” kata Norhafizah.

Sehubungan itu, melalui program GDBK yang jalankan, DBP berharap masyarakat akan dapat menghapuskan pemikiran bahawa hanya dengan berbahasa asing, barulah mereka dilihat sebagai maju dan mencapai standard atau piawai antarabangsa.

Marilah kita bersama-sama mengangkat wibawa bahasa kita sebagai bahasa persuratan ilmu dan kemajuan dengan menggiatkan penggunaannya dalam perniagaan, penulisan, perbahasan, pendokumentasian dan pembicaraan konsep baharu.

-BERNAMA


Pengarang :