Mohd Shaid Rosli meneliti barangan yang disumbangkan kepada Sekolah Desa Aman melalui Projek Sekolah Angkat, program kebajikan KLK Land Sdn Bhd bersama sekolah itu. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
ADN SELANGOR

Desa Coalfields perlukan sekolah tampung pertambahan murid

KUALA SELANGOR, 27 DIS: Kerajaan Persekutuan diharap meluluskan segera pembinaan sekolah di kawasan Desa Coalfields, bagi menampung bilangan murid yang semakin ramai.

Ahli Dewan Negeri Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata perkara berkenaan sudah dibawa kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik untuk pertimbangan.

Katanya lokasi pembinaan sekolah juga sudah dikenal pasti iaitu di Sinar Alam, Puncak Alam yang dijangka mampu memuatkan kapasiti 1,500 pelajar.

“Kita amat memerlukan sekolah di kawasan ini memandangkan sekolah sedia ada iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Aman tidak dapat menampung murid yang terlalu ramai.

“Sebuah kelas hanya boleh menampung maksimum 35 murid sahaja tetapi kini jumlah berkenaan meningkat kepada 40 murid, sekali gus menimbulkan rasa tidak selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Projek Tanggungjawab Sosial Sekolah Angkat Kuala Lumpur Kepong (KLK) Land di SK Desa Aman di sini hari ini.

Hadir sama, Guru Besar SK Desa Aman, Shahidan Said; Pengurus Kanan Jualan dan Pemasaran KLK Land Sdn Bhd, Eric Tan Aik Yee; Pengerusi Persatuan Guru dan Ibu Bapa SK Desa Aman, Mohd Razmi Khalid dan Ahli Majlis Daerah Kuala Selangor Zon 6C, Mariana Abdullah.

Sementara itu Shahidan berkata sekolahnya menerima pertambahan murid saban tahun berikutan ibu bapa tidak mempunyai pilihan lain.

Katanya hal itu menyebabkan sekolah terbabit terpaksa membuat dua sesi pembelajaran iaitu pada waktu pagi dan petang.

“Pada masa sama, pertambahan murid turut menyebabkan kemudahan sekolah semakin berkurangan dan perlu ditambah baik mengikut peredaran masa,” katanya.


Pengarang :