Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof (dua, kanan) bersama dua Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming (kanan) dan Datuk Mohd Rashid Hasnon (dua, kiri) pada Majlis Makan Malam Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas bersama Media di Bangunan Parlimen malam tadi. Turut hadir Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dewan Rakyat pertimbang tambah masa Ahli Parlimen isytihar harta

KUALA LUMPUR, 12 DIS: Dewan Rakyat akan mempertimbangkan untuk membenarkan masa tambahan bagi mengisytiharkan harta kepada tiga Ahli Parlimen daripada Gabungan parti Sarawak (GPS), kata Speakernya Tan Seri Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata tiga Ahli Parlimen berkenaan sudah mengemukakan permohonan untuk penambahan masa dan Dewan membenarkannya, manakala yang lain tidak membuat sebarang permohonan.

“Jika mereka merasakan mereka memerlukan lebih masa lagi untuk sebab-sebab tertentu, kita bukanlah jahat. Tetapi bagi yang tidak mahu mengistiharkan harta mereka, itu cerita lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Makan Malam bersama Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Khas Parlimen dan Media: ‘Reformasi dan Hala Tuju Parlimen Malaysia’ di sini malam tadi.

Pada 5 Disember lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, kesemua 139 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PAKATAN) sudah menyerahkan pengistiharan aset mereka kepada Dewan Rakyat.

Katanya mereka adalah antara 160 Ahli Parlimen yang sudah menghantar pengistiharaan aset berkenaan selain daripada tiga daripada Barisan Nasional (BN), 14 Gabungan Parti Sarawak (GPS) manakala tiga lagi daripada Parti Bersatu Sarawak (PSB), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sementara itu, sejumlah 62 Ahli Parlimen masih belum menghantar borang pengistiharan, iaitu 38 BN, PAS (18), GPS (tiga), STAR (satu) dan dua wakil bebas.

Sementara itu, Mohamad Arif berkata Parlimen berjaya melakukan pelbagai reformasi sepanjang tahun ini menerusi pelbagai program yang dilaksanakan.

”Kita berharap lebih banyak lagi yang dapat dilakukan pada tahun depan. Diharap wakil media dapat melaporkan apa yang kami lakukan dengan cara paling berkesan, kerana rakyat perlu tahu apa yang berlaku di Parlimen.

“Tahun ini juga menyaksikan satu perkembangan baharu di Parlimen seperti perbahasan laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), ia tidak pernah dibentangkan sejak 19 tahun lalu,” katanya yang menekankan Parlimen kini bergerak ke arah lebih baik.

-BERNAMA


Pengarang :