Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ketika menyampaikan ucapan dalam Majlis Penutup Kongres Bersama sempena Kongres Nasional KEADILAN berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dr Wan Azizah: Ingat Deklarasi Permatang Pauh, elak bermusuh

AYER KEROH, 6 DIS: Semua pemimpin dan ahli KEADILAN diingatkan supaya kembali kepada asas kerangka perjuangan asal seperti yang disebutkan dalam Deklarasi Permatang Pauh ketika parti mula ditubuhkan 20 tahun lalu.

Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, hasil perjuangan berliku dilalui dahulu, berjaya melahirkan barisan kepemimpinan dan tokoh besar yang kini menerajui negara dengan aspirasi baharu.

Deklarasi Permatang Pauh itu dibacakan sendiri oleh Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998 ketika memulakan gerakan reformasi.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) bersama Ketua Wanita KEADILAN, Haniza Talha (dua, kiri) dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Nasir (dua, kanan) ketika Majlis Penutup Kongres Bersama sempena Kongres Nasional KEADILAN berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Antara intipati deklarasi berkenaan menyebut iltizam untuk menentang kezaliman, menegakkan keadilan buat semua, membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta membentuk jati diri budaya.

Dalam ucapan Majlis Penutup Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini, Dr Wan Azizah yang juga Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan semua untuk kembali merapatkan saf kepimpinan dan menghentikan pergeseran kerana ia tidak menguntungkan sesiapa.

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersalam bersama perwakilan selepas beliau merasmikan Majlis Penutup Kongres Bersama sempena Kongres Nasional KEADILAN berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Kita tidak boleh selamanya hidup dalam konflik dan pergolakan, kapal yang berlayar sehebat mana pun kalau berterusan dibadai ombak tanpa usaha untuk berlabuh di pengkalan, pasti akan musnah jua akhirnya.

“Kita perlu mencari titik pertemuan itu untuk berlabuh dan merancang agenda besar membela rakyat.

“Berhentilah daripada bergolak dan bergeseran sesama sendiri kerana ianya tidak menguntungkan sesiapa,” katanya.


Pengarang :