Selangorkini
Pemenang Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Dr Zaiton Yahaya (tiga, kiri) dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (tiga, kanan) bergambar bersama pada Majlis Makan Malam Anugerah Yayasan AIDS-Berjaya Tun Dr Siti Hasmah AIDS 2019 di sini malam tadi. Foto BERNAMA
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dr Zaiton terima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Aktivis AIDS, Dr Zaiton Yahaya dipilih sebagai penerima Anugerah Tun Dr Siti Hasmah Yayasan AIDS Malaysia (MAF) atas sumbangannya memberi kesedaran kepada masyarakat berhubung AIDS di negara ini.

Anugerah itu disampaikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada Jamuan Malam Anugerah Tun Dr Siti Hasmah MAF-Berjaya di sini, malam tadi.

Dr Zaiton, 56, yang merupakan Pakar Perubatan Keluarga di Klinik Kesihatan Sandakan dan pengasas Persatuan Kesedaran AIDS Sabah menerima piala dan wang tunai RM20,000.

Ketika ditemui selepas jamuan malam itu, Dr Zaiton berkata beliau mula menjadi aktivis AIDS pada tahun 2008 setelah mendapati masih ramai rakyat Sabah yang masih tidak mengetahui tentang AIDS dan HIV.

“Sebahagian daripada mereka (orang awam) masih jahil dan mempunyai prasangka mengenai penyakit ini. (Malah mereka yang dijangkiti) juga takut untuk membuat pemeriksaan atau rawatan.

“Di sinilah kita perlu mewujudkan kesedaran kepada orang ramai,” katanya.

Diwujudkan pada 1996 oleh MAF, Anugerah Tun Dr Siti Hasmah merupakan nota ‘terima kasih’ kepada organisasi dan individu untuk keberanian, komitmen dan dedikasi mereka membantu komuniti yang paling terjejas oleh HIV dan AIDS.

-BERNAMA


Pengarang :