Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDA NASIONAL

Dua beradik didakwa terima wang lebih RM3 juta bukan milik mereka

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima wang lebih RM3 juta yang bukan milik mereka dalam akaun bank syarikat mereka.

Rafidhah Kamaruddin, 52, dan Ri’ayah Kamaruddin, 59, masing-masing membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mereka didakwa bersama-sama dengan curangnya menerima wang RM3,190,241.37 kepunyaan Syarikat Crest Hill Group Ltd ke dalam akaun bank milik syarikat mereka yang mereka ketahui wang tersebut bukan milik mereka.

Kedua-dua wanita itu dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Ampang di sini pada 21 dan 22 November 2018. Mereka didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syahieza Md Hadzaid menawarkan jaminan RM1 juta setiap seorang dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun, Rafidhah dan Ri’ayah yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan mereka ibu tunggal dan menjaga keluarga.

“Saya memohon jaminan dikurangkan kerana mempunyai seorang anak,” kata Rafidhah.

Ri’ayah pula berkata dia menjaga ibunya yang uzur serta seorang adik yang cacat dan buta.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM280,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 23 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA


Pengarang :