Farah Ann Abdul Hadi menunjukkan pingat emas yang dimenangi dalam acara All Round Wanita Akhir pada Sukan SEA Manila 2019 di Rizal Memorial Sports Complex pada 2 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Farah perlu `sempurna’ sehingga Sukan Olimpik 2020

SEPANG, 6 DIS: “Kita mahu pastikan dia (Farah Ann) ‘sempurna’ sehingga Sukan Olimpik 2020,” kata Jurulatih Gimnastik Artistik Kebangsaan Nataliya Sinkova, secara berseloroh tapi dalam nada serius.

Untuk memastikan Farah Ann Abd Hadi kekal tanpa sebarang kecederaan sehingga penyertaan pertamanya di Sukan Olimpik, Sinkova berkata, beliau perlu dapatkan rehat yang mencukupi, sebelum memulakan persediaan untuk Tokyo 2020 bermula Januari ini.

“Fizikal beliau perlu berehat lebih daripada mental, kerana dari segi mental beliau telah berjaya. Beliau menang tiga emas Sukan SEA. Tetapi fizikal beliau perlukan rehat yang mencukupi. Apa yang telah beliau lakukan adalah menakjubkan.

“Untuk persediaan Sukan Olimpik, beliau tak perlu melepasi pertandingan yang sukar. Beliau hanya perlu menyertai pertandingan untuk terus cergas. Kita tidak mahu dia cedera,” kata Sinkova ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Sinkova berkata, Farah Ann akan menjalani fisioterapi pemulihan dan juga latihan biasa untuk dua bulan, selepas menunjukkan prestasi menakjubkan di Filipina.

Farah Ann menjadi atlet gimnastik artistik Malaysia pertama untuk layak ke Sukan Olimpik selepas 20 tahun, apabila beliau menduduki tempat ke-16 daripada 20 gimnas, pada sesi kelayakan acara all-around individu, di Kejohanan Dunia di Stuttgart, Jerman.

Farah Ann merupakan gimnas ketiga Malaysia yang layak ke Olimpik selepas Au Li Yen pada 2000 (Sydney) dan Shu Wai di Athens 2004.

Bercakap mengenai prestasi keseluruhan skuad gimnastik di Sukan SEA ke-30, Sinkova berkata, pasukannya telah melakukan satu persembahan yang terbaik dan menunjukkan sikap professional yang menakjubkan.

“Mereka menang lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa. Mereka layak untuknya. Jika saya kata saya telah jangkakannya, ia seperti wow wow wow … tetapi saya berdoa untuknya kerana kami tahu standard mereka. Inilah standard sebenar mereka, ini bukan kerana magik. Siapa yang lakukan kesilapan, tidak akan dapat pingat,” katanya.

Sementara itu, Farah Ann yang ditemui mengakui kemenangan tiga pingat emas di Filipina menjadi suntikan semangat untuknya lebih bersedia, ke arah Sukan Olimpik.

“Ini merupakan Sukan SEA terbaik saya, kerana sebelum ini hanya menang dua pingat emas. Semestinya, ia memberi suntikan semangat untuk saya lakukan lebih baik di Olimpik. Sekarang adalah masa untuk saya pastikan, saya lakukan rutin yang lebih teratur.

“Buat masa sekarang, saya hanya mahu rehatkan badan. Masuk tahun depan saya akan buat pelan baru dengan jurulatih, mula Januari tahun depan. Untuk persediaan ke Sukan Olimpik, saya rasa dari segi ‘difficulties’ akan sama. Saya hanya perlu perkemaskan lagi rutin saya,” kata gimnas berusia 25 tahun itu.

Pada aksi di temasya dwitahunan yang membuka tirai pada 30 November lalu, Farah Ann melepasi sasaran peribadinya apabila meraih tiga pingat emas, dalam acara individu keseluruhan, palang bertingkat dan senaman lantai.

Dua lagi pingat emas skuad gimnastik artistik hadir menerusi Tracie Ang melalui acara batang titian dan Tan Fu Jie dalam acara kekuda pelana.

– BERNAMA


Pengarang :