DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menerima penerangan sambil melihat model padang sintetik, Gardens Arena. Foto FA Selangor
AGENDASUKANKINI

FAS lancar padang sintetik bertaraf antarabangsa

SHAH ALAM, 13 DIS: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melancarkan Gardens Arena, sebuah padang sintetik untuk kemudahan latihan bola sepak di Gamuda Gardens, Sungai Buloh pada 7 Disember lalu.

Majlis pembukaan padang sintetik yang menepati piawaian Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu disempurnakan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

FAS menerusi kenyataan memaklumkan, padang sintetik bertaraf antarabangsa itu hasil usaha pembangunan pihaknya bersama Arena Legacy Sdn Bhd.

DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah menyantuni peserta FAS Soccer School ketika merasmikan Gardens Arena di Gamuda Gardens, Sungai Buloh pada 7 Disember 2019. Foto FA Selangor

Katanya, Gamuda Gardens dipilih memandangkan suasana persekitaran hijau dikelilingi 50 ekar taman sentral, air terjun dan lima tasik, sekali gus menjadikan satu ekosistem yang sihat untuk aktiviti sukan serta riadah.

“Pembinaan ini menjadi permulaan baik bagi pembangunan akar umbi bola sepak seawal tujuh tahun seperti FAS Soccer Schools sehingga peringkat dewasa seperti perlawanan Liga Selangor

“Padang ini juga akan menjadi kegunaan pembangunan pengadil Selangor, kursus kejurulatihan (Lesen akar umbi, lesen D dan lesen C) dan pembangunan ahli gabungan FAS,” kata kenyataan itu.

Pasukan Legenda Selangor dan Team Media FC bergambar di padang sintetik sebelum sepak mula perlawanan persahabatan sempena perasmian Gardens Arena. Foto FA Selangor

Terdahulu, pasukan Legenda Selangor dan Team Media FC menjadi dua pasukan pertama merasmikan penggunaan padang itu dalam satu perlawanan persahabatan sejurus selesai majlis pelancaran.

“Di samping itu, beberapa jurulatih dari pasukan Selangor turut terlibat dalam menganjurkan Klinik Bolasepak untuk kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun yang tinggal di kawasan Sungai Buloh dan Rawang.

“Dua pemain utama pasukan Selangor iaitu K Sarkunan, Namathevan dan Wan Zack Haikal juga hadir bagi memberi semangat kepada peserta sambil memeriahkan majlis,” katanya.


Pengarang :