Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

FELCRA agih keuntungan interim RM50.54 juta kepada 67,000 peserta

KUALA LUMPUR, 10 DIS: FELCRA Bhd akan mengagihkan keuntungan interim 2/2019 berjumlah RM50.54 juta kepada 67,000 pesertanya di seluruh negara bermula 15 Disember ini.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata bagi agihan keuntungan interim 2/2019, FELCRA memperuntukkan 70 peratus daripada jumlah keuntungan hasil ladang bagi tempoh Januari hingga Ogos 2019 berjumlah RM72.20 juta, kepada peserta yang terlibat.

“Baki 30 peratus akan digunakan untuk menampung sebarang kos operasi ladang yang belum diambil kira, sekiranya ada.

“Keuntungan yang diagihkan ini adalah hasil daripada keuntungan bersih ladang-ladang milik peserta sebanyak 641 projek yang dimajukan oleh FELCRA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dari segi perbandingan dengan bayaran agihan interim yang sama bagi tahun 2018, Azmin berkata bayaran interim 2/2019 ini menunjukkan peningkatan sebanyak RM25.27 juta atau 50 peratus.

“Penambahan ini disebabkan oleh keprihatinan kerajaan yang bersetuju menangguhkan bayaran balik hutang pembangunan ladang supaya dapat dipulangkan kepada peserta, sebagai tambahan bayaran sekali gus bagi meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi peserta,” katanya.

Di samping itu, Azmin berkata FELCRA telah melaksanakan transformasi menyeluruh dalam operasi perladangan bagi memastikan purata produktiviti ladang sentiasa berada pada tahap optimum.

“Kesan daripada proses transformasi ini telah menghasilkan pengeluaran buah tandan segar yang berkualiti, yang seterusnya dapat meningkatkan kadar perahan minyak (OER) sawit daripada 18.17 peratus pada 2018 kepada 18.31 peratus pada 2019,” katanya.

Beliau juga berkata, pembangunan sektor pertanian merupakan antara tumpuan kerajaan menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 untuk menjana pertumbuhan baharu dan mencipta nilai tambah kepada ekonomi negara.

“Usaha ini merangkumi pengurusan ladang yang lebih efisien dan efektif supaya produktiviti tanah dapat ditingkatkan bagi meningkatkan pendapatan dan menjamin keuntungan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :