Dato’ Seri Amiruddin Shari (tengah) bersama Exco Kerajaan Negeri merasmikan Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Selangor 2019 di GM Klang, Klang pada 14 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Fokus program manfaat rakyat selari kemajuan negeri

KLANG, 15 DIS: Selangor merangka pelbagai program untuk manfaat rakyat bagi memastikan tiada golongan tercicir selari kemajuan pesat negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sesuai dengan tema Selangor Maju Bersama, usaha itu menjadikan negeri ini unggul, sekali gus memartabat kehidupan rakyat.

“Seperti yang selalu disebut sebagai keajaiban Hari Natal, Kerajaan Negeri tidak pernah lupa kepada mereka yang kurang upaya dan kepedulian kepada alam sekitar.

“Banyak lagi polisi lain seperti penubuhan Majlis Tindakan OKU Selangor, program Anak Istimewa Selangor atau AnIS dan program mesra warga emas berjumlah RM20 juta serta kesukarelawan hijau
atau ‘green volunteerism’ juga “Friends of River,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Krismas peringkat Selangor 2019 di Perkarangan Pusat Borong Beli Belah GM Klang, di sini malam tadi.

Dato’ Seri Amiruddin Shari menyampaikan sumbangan kepada wakil rumah ibadat bukan islam (Kristian) ketika Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Selangor 2019 di GM Klang, Klang pada 14 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Amirudin berkata Selangor juga terus mengorak langkah dengan menginstitusikan beberapa polisi proekonomi seperti Dasar Kelulusan 100 Hari yang bakal mempermudah urusan merancang dan membangunkan tanah.

Katanya pentadbiran negeri berani mengambil langkah proaktif dengan pengenalan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bagi menyemarakkan “gig economy” buat anak muda yang mahu menceburi bidang berkenaan.

“Untuk yang baru mahupun yang sudah berniaga, banyak peluang serta wahana disediakan bagi mereka mempertingkatkan kemahiran melalui program TVET seperti IKTISASS di Kolej INPENS serta
memperkembang perniagaan mereka melalui kemudahan modal mikrokredit daripada Yayasan HIJRAH.

“Ini semua bukti komitmen Kerajaan Negeri dalam memberi yang terbaik buat rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut memberikan perhatian kepada aspek keselamatan seperti dibentangkan dalam Belanjawan Selangor 2020.

“Pentadbiran ini bakal mengupayakan pengawasan yang lebih baik dengan pemasangan 5,000 unit kamera litar tertutup di seluruh Selangor.

“Malah, barisan penguat kuasa kita di pihak berkuasa tempatan turut dipertingkatkan kualiti menjadi Polis Bantuan seramai 180 anggota sebagai permulaan,” katanya.


Pengarang :