AGENDANASIONAL

Gelombang kedua banjir di Kelantan, 785 keluarga dipindah

KOTA BHARU, 18 DIS: Kelantan kembali dilanda banjir gelombang kedua di negeri ini dan sehingga tengah hari ini 2,374 mangsa dipindahkan membabitkan 785 keluarga di enam jajahan berikutan hujan lebat sejak malam tadi.

Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan kesemua mangsa banjir di enam jajahan iaitu Jeli, Kuala Krai, Machang, Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tanah Merah di​​​​​​​pindahkan ke 30 pusat pemindahan sementara (PPS).

Jajahan Jeli merupakan mangsa yang teramai dipindahkan iaitu membabitkan 1,554 mangsa daripada 563 keluarga dan dipindahkan di 11 PPS.

Di Tanah Merah pula, 555 mangsa dipindahkan (153 keluarga) di 12 PPS, Pasir Puteh seramai 13 orang (dua keluarga) di sebuah PPS, Pasir Mas seramai 15 orang (lapan keluarga) di sebuah PPS, Machang babitkan 53 mangsa (13 keluarga) dan Kuala Krai seramai 184 orang (46 keluarga) di empat PPS.

Paras air Sungai Kelantan di Jenob, Tanah Merah telah melepasi bahaya iaitu 25.50 meter (bahaya 23.50 meter) manakala sungai-sungai utama lain dilaporkan paras air semakin meningkat.

Cuaca bagaimanapun cerah sejak pagi tadi dan tiada jalan utama yang ditutup kepada kenderaan ketika ini.

Banjir gelombang pertama sebelum ini mengorbankan tiga nyawa.

-BERNAMA


Pengarang :