Dato’ Seri Amirudin Shari bersama penerima sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
SELANGOR

Gembira terima beg sekolah percuma dari MB

BATU CAVES, 15 DIS: Kira-kira 100 pelajar India dari Kampung Indian Settlement berasa gembira apabila menerima beg sekolah percuma daripada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Salah seorang daripada mereka, G Sharvien, 12, berkata, ia adalah hadiah pertama diterimanya sebelum memulakan sesi persekolahan sebagai pelajar Tingkatan Satu di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Selayang di sini.

“Terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar kerana tidak melupakan kami, saya sangat gembira kerana beg lama sudah tidak boleh digunakan lagi.

“Bila dapat beg baharu, saya pasti lebih bersemangat untuk ke sekolah,” katanya kepada SelangorKini.

G Sharvien, 12, gembira menerima beg sekolah percuma dari Dato’Seri Amirudin Shari sempena Program Kembali ke Sekolah di Dewan India Settlement, Batu Caves pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Sementara itu, K Thamil Maran, 39, berkata, beliau bersyukur kerana dua anaknya berusia lapan dan lima tahun menerima beg sekolah percuma.

Katanya, pemberian disampaikan Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Tua, sekali gus mengurangkan bebanan untuk membeli peralatan sekolah buat anak-anak berikutan dirinya sudah tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

“Syarikat tempat saya bekerja, baharu sahaja ditutup, apabila ada bantuan sebegini saya sangat gembira. Anak-anak juga akan belajar dengan lebih baik dan bersemangat dengan barangan baharu.

“Terima kasih Kerajaan Negeri dan juga persatuan setempat yang tidak melupakan kami,” katanya.

Kedua mereka ditemui ketika Program Kembali Ke Sekolah anjuran Persatuan Penduduk Indian Settlement Batu Caves dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di sini, hari ini.


Pengarang :