Mohamad Hilman Idham bersama perwakilan menunjukkan gambar insiden kekecohan yang dirakamkan wakil media ketika Kongres Nasional AMK 2019 berlangsung Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Geng Baju Hitam cemarkan Kongres AMK

AYER KEROH, 6 DIS: Majlis Pimpinan Pusat Angkatan Muda Keadilan (AMK) diketuai Mohamad Hilman Idham mempersoalkan tindakan ‘Geng Baju Hitam’ yang menghalang kumpulan perwakilan dan pemerhati yang sah untuk hadir ke Kongres Tahunan Nasional AMK pagi tadi.

Timbalan Ketua AMK itu berkata, pihaknya sebelum ini dimaklumkan ibu pejabat parti bahawa sepatutnya bahagian keselamatan akan dikawal anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) tetapi sebaliknya yang berlaku.

Beliau mendakwa, sabotaj terancang yang berlaku dalam insiden itu telah mencemarkan keharmonian kongres hari ini walaupun bermula baik sejak malam tadi.

“Kita musykil macam mana ada sekumpulan pemuda berbaju hitam tidak berdaftar tanpa tag perwakilan dan pemerhati yang sah? Kita juga percaya ada dalam kalangan mereka di bawah umur serta boleh masuk memenuhi dewan kongres sedangkan ada perwakilan, pemerhati, pimpinan exco tak dibenarkan masuk.

“Ada juga perwakilan yang menemui saya memaklumkan mereka dihalang masuk kerana tidak memakai baju Melayu. Bagi saya ini alasan remeh.

“Ini amat mengecewakan kita kerana kongres ini menjadi medan muafakat bersatu padu apatah lagi selepas pertemuan Timbalan Presiden (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) dengan Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Kita mulakan dengan baik semalam tetapi kejadian tak diingini ini berlaku. Saya yakin ia tindakan terancang.

“Ibu pejabat (KEADILAN) telah memanggil pasukan RELA tetapi kenapa anggota skuad kita tidak kenal pasti dari mana datangnya mereka dan menentukan ikut suka siapa dibenarkan masuk,” katanya dalam sidang media di D’village Resort di sini, hari ini.

Mohamad Hilman Idham membuat kenyataan dalam sidang media berhubung isu kekecohan yang berlaku ketika Kongres Nasional AMK 2019 berlangsung di Pusat Dagangan Antarabangsa (MITC), Melaka pada 6 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Suasana tegang dan insiden tolak menolak dilaporkan berlaku di perkarangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) ketika kongres berlangsung.

Dalam sidang media sama, Mohamad Hilman menegaskan, Seketeriat Kongres perlu bertanggungjawab sepenuhnya dan menuntut supaya Kongres Tahunan Nasional AMK 2019 dibatalkan.

Beliau berkata, pihaknya berpendirian untuk tidak menghadiri Majlis Penutup Kongres Bersama Antara Wanita dan AMK petang ini atas faktor keselamatan.

Berhubung kehadiran ke kongres penuh esok, Timbalan Ketua AMK itu berkata, hanya akan hadir jika ada jaminan keselamatan.


Pengarang :