Fenomena Gerhana Matahari Cincin atau dikenali sebagai Analus jelas kelihatan dari Taman Negara Tanjung Piai hari ini. Gerhana penuh berbentuk cincin itu kelihatan penuh pada 1.21 minit tengahari dan berlangsung kira-kira dua minit sahaja. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Gerhana diharap dapat tarik golongan muda minat astronomi

PONTIAN, 26 DIS: Warga emas, Kamaruzzaman Abdul Halim, berharap program memerhati gerhana matahari anulus (cincin) di Taman Negara Johor Tanjung Piai, di sini akan dapat menarik lebih ramai golongan muda untuk meminati bidang astronomi.

Kamaruzzaman, yang menganggap dirinya sebagai “pengejar gerhana” berkata fenomena semalam akan memberi peluang kepada generasi muda untuk mengetahui lebih mendalam mengenai matahari, bulan, dan seluruh sistem angkasa raya.

“Ini kali ketujuh saya melihat gerhana. Kali pertama adalah di Yogyakarta, Indonesia pada tahun 1983,” kata pesara kerajaan yang berasal dari Subang, Selangor itu, ketika ditemui bersama ribuan yang berhimpun di Taman Negara Johor Tanjung Piai semalam, untuk program Solar Fest anjuran Planetarium Negara, khusus bagi memerhati kejadian gerhana matahari anulus, yang kali terakhir berlaku kira-kira dua dekad lepas.

“Saya rasa Planetarium Negara telah menganjurkan majlis memerhati gerhana ini dengan baik. Saya harap lebih ramai pemerhati, terutama dari kalangan generasi muda akan berminat untuk mempelajari dengan lebih mendalam mengenai astronomi.. ia merupakan “ibu” kepada semua bidang pengajian sains,” tambahnya.

Gerhana matahari anulus berlaku apabila bulan bergerak tepat di hadapan matahari dan disebabkan kedudukan bulan berada jauh sedikit daripada bumi serta saiznya yang sedikit kecil, ia tidak dapat menutupi keseluruhan bentuk piring matahari.

Kemuncak gerhana yang memperlihatkan umpama bentuk ‘lingkaran cincin berapi’ di angkasa hari ini berlaku pada jam 1.21 petang selama kira-kira dua minit.

“Paling jauh saya pernah lihat gerhana ialah di Oregon, Amerika Syarikat pada tahun 2017. Menantu saya memandu sejauh 900 batu dari kediamannya di Los Angeles untuk membawa saya dan cucu saya melihat gerhana,” kata Kamaruzzaman.

Menurutnya beliau juga pernah melihat pembentukan “lingkaran cincin berapi” itu 21 tahun yang lepas di Mersing.

Beliau berkata dengan melihat fenomena luar biasa itu, ia menjadikan beliau terasa lebih dekat dengan tuhan, dan sentiasa mengingatkan beliau mengenai kebesaran Allah.

“Ia sangat indah, berbaloi menunggu beberapa jam untuk menyaksikan kebesaran Allah,” tambahnya.

-BERNAMA


Pengarang :