AGENDANASIONAL

Giat promosi Tahun Melawat Malaysia, capai 30 juta pelancong

KUALA LUMPUR, 27 DIS: Tahun baharu 2020 bakal menyaksikan pelbagai tarikan pelancongan di negara ini terus giat dipromosi bagi mencapai sasaran kedatangan 30 juta pelancong antarabangsa dan pendapatan sektor pelancongan RM100 bilion sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.

Menurut Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof, promosi pelancongan itu akan dilakukan termasuk di benua Asia dan Eropah.

“Promosi TMM 2020 ini akan berterusan sepanjang tahun depan bagi menarik kehadiran lebih ramai pelancong asing bermula dengan India, Brunei dan Sepanyol pada Januari, disusuli Itali pada Februari, Jerman pada Mac serta beberapa negara lain selepas itu,” katanya.

Ketua pengarah agensi penggalakan pelancongan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu berkata demikian dalam temu bual bersama Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata Tourism Malaysia mula melaksanakan pelbagai aktiviti promosi TMM 2020 sejak November 2017 bermula di London. Ia turut dilakukan melalui platform seperti Forum Pelancongan ASEAN pada Januari 2018 di Thailand.

Musa seterusnya berkata ramai pelancong dari Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan China dijangka berkunjung ke Malaysia sempena TMM 2020.

“Pelancong dari benua Eropah dan Timur Tengah juga menjadi sasaran kami untuk berkunjung ke Malaysia kerana mereka berpotensi menjadi penyumbang besar kepada pendapatan pelancongan negara,” katanya.

Selain kaedah jerayawara, Musa berkata pelbagai tarikan TMM 2020 turut diuar-uarkan melalui penggunaan media sosial termasuk di laman sesawang MOTAC sendiri.

Musa seterusnya menjelaskan selain produk pelancongan terkenal seperti Langkawi, promosi TMM 2020 turut tertumpu kepada tarikan pelancong di kawasan luar bandar, termasuk dengan penyediaan inap desa dan pelbagai tawaran pakej aktiviti menarik.

“Selain memperkenalkan aktiviti dan budaya setempat yang boleh menjadi pengalaman indah buat pelancong, penduduk tempatan juga boleh memperoleh limpahan rezeki daripada aktiviti berkaitan pelancongan yang ditawarkan,” katanya.

Musa berkata pengunjung ke negara ini juga boleh memanfaatkan pelbagai mod pengangkutan yang disediakan untuk mengunjungi destinasi pelancongan yang dituju.

Bagi pelawat beragama Islam pula, beliau berkata mencari makanan dan produk halal tidak menjadi masalah di Malaysia selain kewujudan ​​​​​​​tempat beribadah seperti di kebanyakan lebuh raya.

Dalam pada itu, beliau berkata MOTAC turut menyasarkan 92.8 juta pelancong domestik dengan unjuran pendapatan pelancongan RM76.9 bilion pada 2020.

Menurutnya, ramai pengguna lebih suka mendapatkan pakej percutian melalui pelbagai aktiviti pameran pelancongan yang diadakan berbanding secara dalam talian.

Beliau mengingatkan pengguna supaya menggunakan khidmat ejen pelancongan berlesen bagi mengelak penipuan.

-BERNAMA


Pengarang :