Sebahagian perwakilan dan pemerhati yang hadir pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) 2019 di IDCC, Shah Alam pada 6 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Golongan M40 saban hari hampiri tahap B40

SHAH ALAM, 7 DIS: Isu kemiskinan bandar adalah isu penting yang perlu ditangani kerajaan, dengan tumpuan tidak seharusnya kepada golongan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) sahaja.

Isu kemiskinan bandar itu disuarakan oleh seorang perwakilan pada Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (AMANAH) 2019 di Pusat Konvensyen Ideal, di sini, hari ini, memandangkan isu berkenaan merupakan topik utama bagi masyarakat di bandar.

Wakil AMANAH Wilayah Persekutuan, Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi berkata, kerajaan tidak seharusnya terlalu fokus untuk membantu golongan berpendapatan rendah sahaja sedangkan golongan berpendapatan sederhana (M40) di Kuala Lumpur juga kini dilihat saban hari semakin ‘menghampiri’ tahap B40.

“Beban kos sara hidup di bandar raya ini memungkinkan golongan M40 yang berkeluarga besar menjadi miskin bandar.

“Disebabkan itu, takrifan miskin bandar dilihat perlu dijenamakan semula dan kita harus menentukan kategori agar bantuan sewajarnya (seperti mana golongan B40) dapat diberikan,” katanya ketika perbahasan Pidato Presiden.

Sementara itu, wakil Pemuda AMANAH, Shazni Munir Ithnin pula menggesa kerajaan menambah kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum akan datang supaya perkhidmatan wakil rakyat akan menjadi lebih efisien.

Katanya, dengan had umur mengundi yang diturunkan kepada 18 tahun, tempoh empat tahun akan datang dijangka berlakunya perubahan pada situasi politik negara.

“Isu had umur pengundi yang diturunkan kepada 18 tahun dilihat sebagai ‘titik buta’ yang apabila perkara itu dilaksana kelak pada 2023, situasi (politik negara) akan berubah. Penumpuan (kita) akan lebih fokus kepada menyantuni pengundi.

“Jika jumlah Parlimen dan DUN ditambah, servis wakil rakyat juga akan lebih efisien,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :