AGENDANASIONAL

Hampir 10,000 mangsa banjir dipindah malam ini, PPS pertama dibuka di Sarawak

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Hampir 10,000 mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dengan Johor mencatat jumlah tertinggi sebanyak 9,043 orang daripada 2,448 keluarga yang dipindahkan setakat 9 malam ini.

Jumlah berkenaan meningkat mendadak berbanding 5,592 orang daripada 1,549 keluarga pada 5 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, kesemua mangsa ditempatkan di 83 PPS iaitu 28 di Kluang, 19 di Segamat, 17 di Kota Tinggi, 10 di Mersing, tiga di Johor Bahru, dua di Batu Pahat, dua di Kulai dan masing-masing sebuah di Muar dan Pontian.

Katanya, Kluang mencatatkan mangsa paling ramai iaitu 2,611 orang daripda 733 keluarga, diikuti Kota Tinggi pula 2,552 orang daripada 664 keluarga.

Selain Johor, jumlah mangsa yang dipindahkan di Pahang turut meningkat, Melaka kekal dengan jumlah sama, manakala Sarawak pula menjadi negeri terbaharu dilanda bencana alam terbabit.

Di Pahang, mangsa banjir di Rompin, satu-satunya kawasan dilanda banjir setakat ini, semakin bertambah apabila sebuah lagi PPS dibuka, menjadikan keseluruhannya 10 PPS beroperasi malam ini.

Setakat 7.20 petang tadi, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan mangsa banjir daerah itu kini berjumlah 858 orang daripada 232 keluarga, bertambah daripada 790 orang melibatkan 204 keluarga petang tadi.

Di Melaka, setakat 8 malam, keadaan tidak berubah dari petang tadi dengan 13 orang penduduk melibatkan tiga keluarga dari Kampung Bukit Balai dipindahkan ke PPS di Kompleks Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) Durian Tunggal, Bukit Balai.

Di Sarawak, sebuah PPS dibuka di Dewan Suarah, Marudi di Miri pada 4.45 petang tadi berikutan hujan lebat dan air pasang tinggi yang menyebabkan beberapa kawasan rendah dinaiki air.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Mejar Ismail Mahedin berkata, seramai 11 mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di pusat berkenaan.

– BERNAMA


Pengarang :