AGENDANASIONAL

Harga bawang: KPDNHEP nasihat pengguna bijak buat pilihan

SEMENYIH, 26 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak bercadang meletakkan harga siling untuk bawang sebaliknya pengguna diminta membuat pilihan bijak sebelum membeli.

Timbalan Pengarah Penguatkuasa Pencegahannya, Azman Adam berkata, ini kerana, Malaysia bukan hanya mengimport bawang dari India tetapi dari beberapa negara lain seperti Vietnam dan Myanmar.

“Setakat ini kita tidak mempunyai cadangan untuk menaikkan harga kerana bawang mempunyai pelbagai jenis dan bukan satu jenis sahaja.

“Oleh itu, ia terpulang atas pilihan pengguna itu sendiri untuk memilih bawang dari mana dengan harga berpatutan,” katanya ketika diminta mengulas laporan kenaikan harga bawang India di Perlis sejak September lepas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika program Pemeriksaan Harga Pakaian dan Barangan Sekolah 2019 di Pasaraya Mydin Semenyih di sini hari ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan KPDNHEP akan menyiasat punca kenaikan harga bawang India di Perlis itu meliputi seluruh rantaian bekalan bawang India, dari peringkat pengimport, pembekal, pemborong dan seterusnya peruncit.

Harga bagi sekilogram bawang merah adalah RM4, namun bahan itu kini dilaporkan dijual pada harga RM12 sekilogram.

Kenaikan harga didakwa berlaku berikutan bekalan bahan itu dikesan menyusut sejak dua bulan lepas.


Pengarang :