Dr Siti Mariah Mahmud (tengah) bersama Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan (kiri) melakukan kaedah rawatan kecemasan CPR selepas beliau merasmikan Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) sempena Hari Diabetes dan Hari Kanak-Kanak peringkat MPSJ 2019 di Puchong Indah, Puchong pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Ibu bapa dinasihat kawal pemakanan anak

PUCHONG, 15 DIS: Ibu bapa dinasihat untuk mengawal pemakanan anak mereka sejak usia kecil lagi, kata EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau berkata, ia berikutan terdapat ramai kanak-kanak masa kini dijangkiti diabetes akibat pemakanan tidak terkawal berpunca daripada ibu bapa sendiri.

Katanya, diabetes seringkali dilabel sebagai pembunuh senyap kerana impaknya hanya akan dilihat apabila sudah menjadi kronik.

“Penyakit ini tidak hanya terhad kepada golongan dewasa bahkan juga boleh terjadi kepada kanak-kanak.

“Malah, ketiadaan kawalan dalam pemakanan, akan menyebabkan obesiti yang menjadi salah satu punca ke arah diabetes,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) peringkat Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Padang Awam MPSJ, Puchong Indah di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Dr Siti Mariah berkata, pihaknya menyeru ibu bapa selaku ketua keluarga untuk sama terlibat secara aktif bagi memastikan keluarga memilih pemakanan sihat dan sentiasa melakukan aktiviti riadah.

“Kadang kala kita perlu jadi kejam kepada anak-anak dengan tidak menghidangkan minuman berkarbonat atau makanan manis (tidak berkhasiat).

“Justeru, dengan cara ini mereka mungkin akan membiasakan diri untuk menjauhi makanan atau minuman tidak berkhasiat itu.

“Malah, pendidikan awal berkaitan kesihatan amat penting kepada kanak-kanak kerana mencegah lebih bagus daripada merawat,” katanya.

Terdahulu, Karnival 3W kini melabuhkan tirainya pada tahun ini selepas menjelajah ke 12 PBT dan terakhir adalah MPSJ dengan tema “Hari Diabetes dan Kanak-kanak”.

Berdasarkan rekod, karnival terbabit memulakan sesi jelajah di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, dekat sini pada 10 Februari lalu.

Karnival 3W diperkenalkan bagi mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat selain memfokuskan perkara berkaitan wanita, kebajikan dan kesihatan yang menjadi medan interaksi bersama masyarakat.


Pengarang :