Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) menyaksikan simbolik penyerahan oleh Ketua Setiausaha KDN, Datuk Jamil Rakon (dua,kiri) kepada Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzainee Daud (dua,kanan) pada Penyerahan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Bukit Kayu Hitam pada 3 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Imigresen teliti isu pelancong China, India tinggal lebih masa

BUKIT KAYU HITAM, 3 DIS: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang berat isu jumlah yang tinggi melibatkan pelancong dari China dan India yang tinggal melebihi tempoh di negara ini, seperti yang dinyatakan dalam laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 2, semalam.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah menyerahkan perkara berkenaan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk diteliti.

“Ada perkara boleh dijelaskan… Yang penting bila sebut ada (pelancong) tak balik, duduk lebih masa, JIM akan susun (kesan) nak tahu di mana mereka berada.

“Tindakan berdasarkan undang-undang imigresen akan dikenakan terhadap mereka, kita nak pastikan bila seseorang berada di negara ini, mesti berada dalam tempoh dibenarkan oleh JIM,” katanya kepada pemberita selepas majlis Penyerahan Projek Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam kepada KDN di sini, hari ini.

Laporan audit semalam menyebut tiada rekod tarikh keluar lebih 95 peratus pelancong China dan India yang melawat ke negara ini antara 2016 sehingga tahun lepas.

Menurut laporan itu, berdasarkan data ketibaan sepanjang tempoh berkenaan, daripada 79,799 warga China, didapati sebanyak 76,258 tidak mempunyai rekod tarikh keluar dari negara ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, angka mengenai warga China itu adalah kurang tepat kerana mengikut rekod pihaknya jumlah sebenar pelancong China yang masih belum keluar ialah hanya 18,341 individu.

“Perbezaan ini berlaku mungkin disebabkan mereka masuk menggunakan Sistem Maklumat Pendaftaran Pelancong Elektronik (eNTRI) iaitu kemudahan tanpa visa bagi pelawat dari China dan India.

“Kemudian mereka keluar melalui sistem biasa, rekod pas lawatan sosial biasa, ada kelemahan dari segi sistem teknikal, sebab itu ada perbezaan,” katanya yang berada pada majlis sama.

Khairul Dzaimee berkata, sehubungan itu, pihaknya akan mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Audit Negara dalam masa terdekat untuk mengemas kini jumlah berkenaan.

Sementara itu, mengenai kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam, projek bernilai RM385 juta itu dimulakan pada 14 Jun 2014 dan siap sepenuhnya pada 25 Jun lepas dan beroperasi sepenuhnya pada Ogos.

Kompleks itu antaranya dilengkapkan dengan pagar keselamatan jenis ‘anti-climb’ di keseluruhan kawasannya dan dibantu dengan kira-kira 300 unit kamera litar tertutup berdefinisi tinggi dan mesin pengimbas kargo juga dipasang di laluan kenderaan berat bagi memastikan pemeriksaan lebih rapi dijalankan ke atas semua barangan yang memasuki negara ini.

– BERNAMA


Pengarang :