Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDAEKONOMI

Indeks pelopor jangka ekonomi lebih baik pada Feb-April 2020

KUALA LUMPUR, 24 DIS: Perubahan tahunan Indeks Pelopor (IP) Malaysia meningkat 1.5 peratus pada Oktober 2019 berbanding 0.3 peratus pada bulan sebelumnya — peningkatan tertinggi sejak April 2018, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata IP, yang menjangkakan hala tuju ekonomi negara mencatat kenaikan pada Oktober 2019, berkembang 1.4 peratus bulan ke bulan kepada 120.3 mata daripada 118.6 mata pada September 2019.

“Ini (perubahan tahunan) adalah yang tertinggi sejak April 2018. Oleh itu, ekonomi dijangka mengalami pertumbuhan yang lebih baik pada Februari hingga April 2020,” katanya dalam kenyataan bertajuk “Penunjuk Ekonomi Malaysia: Indeks Pelopor, Serentak dan Susulan Oktober 2019 hari ini.

Beliau berkata penyumbang utama bagi peningkatan ini adalah import benar logam asas berharga dan logam bukan ferus lain (0.9 peratus) yang disokong terutamanya oleh import aluminium dan logam berasaskan platinum.

Penyumbang lain adalah import benar semi konduktor (0.4 peratus) yang didorong terutamanya oleh import komponen bersepadu elektronik, sejajar dengan kenaikan jualan semi konduktor di peringkat global.

-BERNAMA


Pengarang :