Mohamad Sabu
AGENDANASIONAL

Intipati Kertas Putih Pertahanan wadah pertahanan negara

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Berikut adalah intipati Kertas Putih Pertahanan (KPP) bertemakan ‘Malaysia Yang Selamat, Berdaulat dan Makmur’ yang dibentang di Parlimen oleh Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu

  • KPP yang diterbitkan sebagai wadah baharu Dasar Pertahanan Negara dibangunkan dengan kerjasama ahli akademik, pemain industri pertahanan, veteran, mantan panglima perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan organisasi masyarakat sivil.
  • Menggariskan visi untuk mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara yang selamat, berdaulat dan makmur selain memposisikan negara menjadi sebuah negara maritim dengan susur galur kebenuaan selain memaksimumkan potensi negara sebagai gerbang penjalin menghubungkan rantau Asia Pasifik dengan Lautan Hindi.
  • Malaysia akan mewujudkan ekosistem strategik yang seimbang dengan kerjasama lebih luas dan mencipta opsyen dasar yang lebih banyak dengan memainkan peranan sebagai gerbang penjalin di antara rantau Asia Pasifik dan Lautan Hindi.
  • Tiga cabaran yang dikenal pasti membentuk perspektif strategik Malaysia untuk tempoh 10 tahun yang akan datang iaitu ketidaktentuan hubungan kuasa besar, kejiranan Asia Tenggara dan ancaman keselamatan bukan tradisional.
  • Bagi menggapai visi dan melindungi kepentingan negara lima objektif pertahanan negara telah dikenal pasti merangkumi semua aspek pertahanan dan pengurusan sumber.
  • Bagi menjamin keselamatan Malaysia, terdapat tiga kawasan lapisan berpadu yang perlu dipertahankan pada setiap masa iaitu:

i. Kawasan Teras iaitu kawasan daratan di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak, persisiran perairan serta ruang udara di atasnya;

ii. Kawasan Lanjutan iaitu kawasan hak berdaulat yang merangkumi Zon Maritim Malaysia, laluan perairan strategik, ruang udara di atasnya dan laluan hubungan komunikasi kritikal; dan

iii. Kawasan Hadapan iaitu lokasi melangkaui kawasan lanjutan di mana kepentingan negara boleh digugat.

  • Tiga tonggak strategi bagi mempertahankan kawasan kepentingan berpadu telah dikenal pasti iaitu Cegah Rintang Berpadu, Pertahanan Komprehensif dan Perkongsian Berwibawa yang saling berkait dan menyokong antara satu sama lain.
  • ATM direformasikan dengan berlandaskan lima ciri yang dikenal pasti iaitu kebersamaan, kebolehoperasian, berasaskan teknologi, keupayaan operasi secara serentak di dua wilayah; dan berorientasikan misi.
  • Memperkukuhkan kerjasama pertahanan dua hala dan pelbagai hala dengan negara-negara jiran dan berkepentingan adalah asas kepada Strategi Perkongsian Berwibawa.
  • Memperkenalkan satu pendekatan baharu terhadap dasar sains, teknologi dan industri pertahanan negara dengan menjadikannya pemangkin ekosistem pertahanan dan pertumbuhan ekonomi negara.
  • Dasar Industri Pertahanan Negara akan digubal mengandungi lima teras utama iaitu Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Teknologi, Pembangunan Industri, Ke Arah Keupayaan Berdikari dan Tembusi Pasaran Global.
  • Reformasi pertahanan akan dilaksana menerusi satu pelan induk iaitu Pelan Pelaburan Pertahanan Negara (3PN) yang mengandungi hala tuju dan perancangan perkara berkaitan pelan pembangunan keupayaan bersama ATM, Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan dan penggubalan Dasar Industri Pertahanan Negara.

– BERNAMA


Pengarang :