AGENSISELANGOR

IRIS 2019 mampu revolusi hasil penyelidikan, inovasi negara

SHAH ALAM, 11 DIS : Program Konferensi Penyelidikan dan Inovasi Intelektual (IRIS) 2019 anjuran Universiti Selangor (UNISEL) dipercayai mampu memberi revolusi hasil penyelidikan dan perubahan kepada negara.

Naib Presiden merangkap Timbalan Naib Canselor Pentadbiran, Perancangan dan Jaringan Global, Prof Dr Mohd Nor Nawawi berkata, program itu bertepatan dengan usaha kerajaan dalam mempersiapkan Malaysia menerusi sistem pendidikan tinggi bagi menghadapi masa depan mencabar dan sentiasa berubah.

Katanya, beliau yakin hasil program itu mampu membuka mata dan minda bahawa inovasi itu luas dan tidak terbatas.

“Saya percaya hasil pameran dan pertandingan mampu membuka mata dan minda semua pihak bahawa inovasi tidak terbatas oleh masa malahan masih banyak kemahiran penyelidikan dan perubahan intelek perlu diterokai,” katanya menerusi kenyataan di Facebook Universiti Selangor.

Difahamkan, program itu cetusan idea Fakulti Komunikasi, Seni Visual Dan Pengkomputeran dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Dan Jalinan Industri UNISEL yang diadakan semalam di Dewan Canselor, UNISEL Kampus Bestari Jaya.

Program itu turut disertai oleh ahli akademik dan mahasiswa dari Multimedia University, Management and Science University, Universiti Teknologi Malaysia, Politeknik, INTI, Universiti Putra Malaysia, Universiti Perguruan Sultan Idris dan Universiti Utara Malaysia.

Jalinan kerjasama itu dilihat sebagai landasan dalam mempopulasikan budaya inovasi sama ada di UNISEL dan juga institusi pengajian tinggi yang lain.

IRIS 2019 juga mampu merevolusikan hasil penyelidikan dan inovasi dalam kalangan ahli akademik dan mahasiswa di negara ini.

Terdahulu, seramai 103 peserta menyertai tiga acara iaitu “Penyelidikan Intelektual, Inovasi Intelek dan Produk Inovasi Sosial (Kreatif dan Komuniti).

Pemenang Anugerah Utama “Inovasi Penyelidikan Intelek (Perisian atau Produk Sistem) disandang oleh Sarimah Mat Nawi dari UNISEL.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang majlis antara pameran IRIS 2019, sesi taklimat STEM-A, Yayasan Inovasi Malaysia dan sesi Perbadanan Harta Intelek Malaysia.


Pengarang :