Hee Loy Sian meninjau salah satu pembentung di Indah Water Konsortium (IWK) Bukit Mahkota, Semenyih susulan limpahan minyak yang mengakibatkan pencemaran bau di Sungai Semenyih pada 22 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

IWK tutup lurang kumbahan Bandar Bukit Mahkota secara kekal

KAJANG, 22 DIS: Indah Water Konsortium (IWK) akan menutup secara kekal semua lurang kumbahan di loji rawatannya di Bandar Bukit Mahkota, bagi menghalang pembuangan sisa haram oleh pihak tidak bertanggungjawab, kata Hee Loy Sian.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna berkata langkah itu susulan insiden pencemaran bau sehingga menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sementara.

“Kita akan mengarahkan Majlis Perbandaran Kajang dan IWK supaya mengadakan kawalan 24 jam dengan mengehadkan akses (keluar masuk) ke kawasan ini.

“Polis juga diarah membuat rondaan sepanjang masa bagi memastikan tiada lagi pencerobohan daripada lori yang membuang sisa bahan kimia,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan tapak bersepadu di sini hari ini.

Loy Sian berkata walaupun Loji Olahan Air Sisa Kumbahan Bandar Bukit Mahkota adalah lokasi terbiar dan tidak memiliki penduduk ramai, namun ia dilengkapi sistem pembentungan serta kemudahan infrastruktur.

Beliau berkata halangan untuk pihak industri memasuki kawasan itu juga tidak boleh dibuat memandangkan lokasinya bersempadan Negeri Sembilan.

Hee Loy Sian melihat peta kawasan yang terlibat selepas sidang media lawatan tapak bersepadu susulan pencemaran bau Sungai Semenyih di Loji IWK Bandar Bukit Mahkota pada 22 Disember 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Bagaimanapun, kita bercadang untuk memasang kamera litar tertutup di laluan keluar masuk supaya mudah bagi kita mengenal pasti pada masa akan datang.

“Kita juga akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat untuk mengadakan kolam penahanan (retention pond) di kawasan ini bagi menyalurkan bahan kimia ke satu tempat berdekatan jika insiden seperti ini berlaku lagi,” katanya.

Pada masa sama, katanya pemantauan dan pensampelan dijalankan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati tiga ton bau masih dikesan di Sungai Beranang, manakala dua ton di muka sauk loji di Jenderam Hilir sehingga 12.30 pagi tadi.

Katanya LUAS bersama semua pihak sedang berusaha menangani insiden itu dan mengenal pasti pihak tidak bertanggungjawab yang terbabit.

Semalam, SelangorKini melaporkan LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas bagi mengelak air tercemar disalur kepada pengguna.

Insiden itu menyebabkan gangguan bekalan air kepada lebih 1.5 juta pengguna di sebahagian kawasan Hulu Langat, Sepang, Putrajaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat.


Pengarang :