AGENDA NASIONAL

Jadi penyumbang utama pengetahuan dalam kalangan negara Islam

KUALA LUMPUR, 20 DIS: Malaysia berharap dapat menjadi penyumbang utama kepada pengetahuan dan inovasi baharu untuk masyarakat global khususnya dalam kalangan negara Islam.

Dalam memimpin pembentukan agenda progresif untuk dunia Islam, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik berkata, Malaysia berusaha menggabungkan pengetahuan Islam dan duniawi seperti yang diterajui Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia dan Universiti Sultan Zainal Abidin.

“Dalam dunia global yang sangat berdaya saing, Malaysia perlu mengukuhkan lagi dan memanfaatkan modal insan dan intelektualnya, dan universiti adalah pusat kepada matlamat ini,” katanya dalam sesi khas ‘Mengapa Pendidikan Kunci kepada Pembangunan Negara’ pada Sidang Kemuncak Kuala Lumpur (KL) 2019 di sini hari ini.

Pada sesi itu, Maszlee menekankan idea ‘pendidikan berorientasikan pembaharuan’ yang merujuk kepada perubahan berterusan dalam konteks bagaimana orang melihat dan mendekati pengetahuan yang seharusnya menjadi hasrat ke arah mencapai kemajuan dalam dunia Islam.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk meletakkan ilmu duniawi dan agama pada kedudukan yang sama, dan kedua-duanya perlu disemai di institusi berkenaan. Dalam konteks ini, Maszlee berkata, etika mestilah menjadi kerangka panduan pengajaran, pembelajaran atau penyelidikan kerana ia adalah standard yang membezakan antara ilmu dan tindakan yang betul dan salah.

“Dengan kemajuan Revolusi Perindustrian 4.0 dalam sektor pendidikan, mencetuskan apa yang dinamakan sebagai ‘Pendidikan 4.0’, etika menjadi lebih penting dan kita perlu melatih pendidik masa hadapan dan menggunakan teknologi ke arah hasil yang positif untuk pembangunan manusia dan bukan untuk usaha yang mementingkan diri sendiri,” katanya.

Maszlee berkata selain daripada keperluan mereka bentuk semula kurikulum dan mencari kandungan digital terbaik, terdapat juga keperluan untuk mencipta kaedah pedagogi dinamik kerana generasi digital mempunyai toleransi yang rendah terhadap pendidik yang membosankan.

Dalam hal ini, beliau berkata sekolah pada masa hadapan perlu direka bukan sahaja untuk pembelajaran tetapi juga berfikir, kerana sekolah dan institusi pendidikan tinggi pada masa kini dijangka menghasilkan bakat-bakat yang boleh berfikir, membuat penemuan saintifik baharu, mencari penyelesaian yang lebih mencukupi terhadap masalah dunia yang mendesak, menyesuaikan diri dengan perubahan dan mengekalkan kesempurnaan dalam era serba pantas ini.

Beliau menambah terdapat keperluan segera untuk meningkatkan dan memperbaiki kekuatan penyelidikan sedia ada dan memperhebat penyelidikan pelbagai disiplin dan transdisiplin sejajar dengan keutamaan penyelidikan nasional dan sempadan teknologi masa hadapan.

Usaha perlu ditumpukan untuk meningkatkan penyelidikan terjemahan, pemindahan teknologi dan pengetahuan antara universiti, masyarakat dan industri untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat, antara lain dengan mengintegrasikan projek kemasyarakatan kepada aktiviti penyelidikan untuk meluaskan kesan penglibatan komuniti.

“Sehingga kini, Malaysia telah bekerjasama dalam pelbagai bidang dengan banyak universiti dari Timur Tengah termasuk Arab Saudi, Iran, Turki dan Qatar. Malah, antara 2016 dan 2018, universiti Malaysia dan Iran bersama-sama menghasilkan 2,962 penerbitan,” katanya, memetik keperluan universiti di negara yang kebanyakannya Islam untuk mengukuhkan kerjasama penyelidikan.

Sementara itu, penceramah dari Qatar Dr Hend Abd Rahman Al-Muftah mencadangkan negara Islam untuk bekerjasama dalam pembangunan sains dan teknologi ke arah membetulkan stereotaip Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan.

Hend yang juga Ahli Majlis Syura Qatar berkata ini dapat dicapai dengan kecemerlangan dari segi infrastruktur pendidikan Islam dan belia yang mempunyai bakat cerah yang boleh menjadi sebahagian daripada masa hadapan yang hebat.

Seorang lagi penceramah, Rabee Hamu menegaskan pendidikan tidak semestinya dilihat sebagai sebahagian daripada peruntukan belanjawan tetapi pelaburan untuk masa hadapan generasi muda.

Ahli jawatankuasa pemandu Sidang Kemuncak KL itu berkata pendidikan perlu menjadi kepentingan bagi negara Islam dan sekiranya kanak-kanak tidak dapat belajar dengan baik, mereka akan tertinggal dengan dunia lain dan kemudian mendapati mereka tidak bersedia untuk menghadapi pasaran global.

– BERNAMA


Pengarang :