AGENDANASIONAL

Jangan heret MBM ke kancah politik kepartian

SHAH ALAM, 9 DIS: Pandangan Pengerusi Tetap Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Syahbuddin Hashim pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU), baru-baru ini tidak mewakili pandangan rasmi MBM.

Presidennya, Jufitri Joha berkata MBM adalah platform non-partisan untuk semua sama ada belia tidak berparti, belia penyokong Pakatan Harapan mahupun belia penyokong Barisan Nasional.

Katanya MBM dan badan gabungan mahu terus fokus menjayakan agenda pembangunan belia serta negara juga tidak mahu terheret dalam kancah konflik politik kepartian yang boleh merencatkan usaha mereka.

“Pandangan yang dilontarkan itu bukan pandangan rasmi MBM, beliau (Syahbuddin) menggunakan pentas politik dan bukan pergerakan belia jauh sekali MBM. Nama MBM langsung tidak disebut sepanjang ucapan beliau.

“Kami yakin sebahagian besar belia sudah letih dengan senario politik semasa dan mahu pemain politik khususnya kerajaan fokus kepada pembangunan belia dan negara,” katanya dalam kenyataan.

Jufitri turut menggesa supaya MBM tidak diheret dalam pertembungan politik kepartian, sebaliknya ia wajar diselesaikan menggunakan platform politik masing masing.

“MBM juga ingin menyeru agar pemimpin belia memainkan peranan sebagai ejen pendamai kepada kedua-dua pihak kerana tidak ramai yang mahu melihat persahabatan dibina walaupun berbeza pandangan, sebaliknya ramai yang suka menjadi ejen penyimbah minyak.

“Dialog dengan memelihara adab perbezaan harus disuburkan bagi menyelesaikan sebarang konflik. Sejarah menyaksikan konflik yang tajam tidak membawa negara ke mana-mana,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata MBM harus terus dipertahankan sebagai wadah belia untuk semua (bukan milik eksklusif kelompok tertentu) yang membantu kerajaan dan Kementerian Belia dan Sukan untuk membangunkan belia dan negara.


Pengarang :