Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bergambar bersama usahawan pada Majlis Perasmian Penutup Program Jelajah Made In Selangor di IOI City Mall, Putrajaya. 5 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

Jelajah Made in Selangor peluang terbaik usahawan ketengah produk

PUTRAJAYA, 5 DIS: Jelajah Made in Selangor 2019 peluang terbaik buat usahawan di Selangor untuk mengetengahkan produk mereka sehingga ke peringkat antarabangsa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, usahawan yang mengikuti jelajah berkenaan juga wajar merebut peluang itu untuk memasarkan produk mereka dengan lebih meluas lagi.

Katanya, sejak Jelajah Made in Selangor dilancarkan ramai usahawan sudah berjaya memperkenalkan produk mereka dan dibawa sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kebanyakan usahawan berpotensi malahan ada sebahagian daripada mereka juga kita pernah bawa mereka sehingga ke Nanning dan Alhamdulillah ia sekali gus mengharumkan nama Selangor di peringkat antarabangsa.

“Saya berharap usaha ini dapat diteruskan dan dijadikan contoh buat usahawan lain untuk sama berkembang maju dalam perniagaan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor selepas merasmikan Jelajah Made in Selangor 2019 di iOi City Mall, di sini, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

Pada masa sama, Amirudin berkata, beliau optimis usahawan di Selangor berusaha merebut peluang memajukan perniagaan mereka dan tidak hanya di takuk lama.

“Melalui inisiatif jelajah ini setiap usahawan juga dapat mewujudkan komuniti dan jaringan perniagaan sesama mereka sebaiknya selain bertukar pandangan.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri juga sentiasa menyokong usahawan ini dan mereka yang berpotensi kita akan bantu supaya perniagaan mereka dapat terus diperkembangkan,” katanya.


Pengarang :