EXCOSELANGOR

Jelajah Persona Selangor pacu manfaat pelancongan dua hala

SHAH ALAM, 20 DIS: Program Jelajah Persona Selangor 2019 dirancang ke tiga negeri, mampu memberi manfaat dua hala ke arah memacu industri pelancongan serta meningkatkan kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa ke negara ini.

EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, inisiatif dijayakan Tourism Selangor melalui program sarat dengan intipati pelancongan itu banyak memberi impak positif khususnya kepada Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Program Jelajah Persona Selangor 2019 menjadi landasan kepada penggiat industri pelancongan untuk menjalin kerjasama dengan Badan Pelancongan Negeri serta Kerajaan Negeri secara amnya.

“Perkara ini secara tidak langsung akan membuka peluang lebih luas dalam usaha mempergiat pelan promosi pelancongan bagi menggalakkan kemasukan lebih ramai pelancong domestik khususnya ke Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Rashid berkata, menerusi program itu, Tourism Selangor menggerakkannya ke Alor Setar, Kedah (26 hingga 28 November); Johor Bahru, Johor (15 hingga 17 Disember) dan Ipoh, Perak (18 hingga 20 Disember) sebagai usaha strategik program promosi pelancongan untuk Selangor.

Beliau berkata, program ini membabitkan kerjasama kerajaan dengan kerajaan (GTG) dan perbincangan antara lain membabitkan usaha dan inisiatif Kerajaan Negeri yang akan diambil bagi memperkasa industri pelancongan.

“Pembabitan diterima baik membolehkan sesi promosi dan pengenalan produk dilakukan secara terus kepada penggiat industri pelancongan.

“Hasil perkongsian di ketiga-tiga negeri ini dijangka dapat disampaikan kepada golongan sasar yang terdiri daripada pelancong tempatan bermastautin luar dari Selangor,” katanya.

Untuk rekod, tarikan produk pelancongan Selangor berjaya menyumbang kepada jumlah kedatangan pelancong seramai 3.48 juta orang dariJanuari hingga Jun lalu.

Jumlah itu membabitkan 53 peratus atau 1.86 juta terdiri daripada pelancong domestik manakala 47 peratus atau 1.62 juta adalah pelancong antarabangsa.

Angka berkenaan menyumbang kepada peningkatan tiga peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.


Pengarang :