Jom menjamu selera di Makan@Bumbung Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Shah Alam.
AGENSISELANGOR

Jom jamu selera di Makan@Bumbung PKNS Shah Alam

SHAH ALAM, 7 DIS: Sebagai menarik lebih ramai pengunjung menjamu selera di Makan@Bumbung Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini, pihak pengurusan bangunan itu memperuntukkan RM700,000 untuk menaik taraf ruang makan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi berkata, ruang makan berkeluasan 800 kaki meter persegi itu mampu memuatkan 10 gerai dengan konsep yang unik iaitu industrial dan ‘instgram worthy’ yang diyakini menepati citarasa generasi muda.

Katanya, Makan@Bumbung yang terletak di tingkat empat Kompleks PKNS Shah Alam itu telah dirasmikan oleh Ahli Lembaga Pengarah PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) merangkap Ketua Pegawai Kewangan PKNS, Azlina Amran pada 5 Disember lalu.

“Makan@Bumbung telah beroperasi pada awal Oktober lalu dan dibuka dari jam 7 pagi hingga 6 petang. Pengunjung boleh menikmati pelbagai juadah seperti ayam kunyit Tok Deng yang popular di Menara Worldwide Kuala Lumpur, mee sizling, tomyam Abe Power serta pelbagai lagi.

“Mereka yang ingin berkunjung ke Makan@Bumbung disaran menggunakan lif berdekatan McDonald ataupun KFC untuk akses lebih mudah,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, Azlina berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan kepada PREC untuk terus berdaya saing dengan pengurusan di bangunan lain di negeri ini.

“Ia selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk menjadikan Selangor sebagai pemangkin kepada aktiviti ekonomi dan mampu menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini,” katanya.


Pengarang :