Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Jualan murah boleh diadakan bila-bila masa bermula tahun depan

BUKIT MERTAJAM, 28 DIS: Bermula 2 Januari 2020, para peniaga boleh mengadakan jualan murah pada bila-bila masa dan ia tidak lagi terhad kepada empat kali setahun, seperti sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) Pindaan 2019 yang diwartakan pada 29 November lepas itu juga membolehkan jualan murah diadakan tanpa perlu menghantar permohonan permit kepada kementeriannya.

“Sebelum ini peniaga perlu mohon permit 14 hari sebelum menganjurkan jualan murah, namun menerusi pindaan itu, mereka tidak perlu lagi mohon.

“Konsep penganjuran jualan murah yang dikawal had bilangannya adalah relevan sebelum ini, bagaimanapun pada era teknologi serta model perniagaan yang semakin berkembang, konsep itu dilihat tidak memberi fleksibiliti dan menyekat peniaga menganjurkan (jualan murah) mengikut kreativiti serta strategi pasaran masing-masing,” katanya selepas merasmikan program ‘Kembali ke Sekolah’ di Tesco Seberang Jaya, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kuota penganjuran jualan murah itu juga, dilihat menjadi satu halangan perdagangan dalam konteks perdagangan antarabangsa masa kini dan pindaan itu dibuat selepas kajian yang teliti, serta mengambil kira pandangan pihak industri dan pengguna.

Katanya sebanyak 10 peruntukan terlibat dalam pindaan itu dan antara yang utama ialah mengenai had bilangannya yang sebelum ini ditetapkan kepada empat kali setahun, dengan tiga daripadanya ditetapkan tempoh dan tarikh oleh pihak kerajaan melalui warta.

“Peraturan itu telah melalui pindaan lima kali, sejak ia diperkenalkan pada tahun 1997 untuk menambahbaik peruntukan peraturan, bagi mengimbangi keperluan industri dalam sektor peruncitan serta aspek perlindungan hak-hak pengguna.

“Pindaan ini juga sebagai rangsangan kepada industri peruncitan untuk berkembang, seiring dengan kemajuan ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata aspek perlindungan hak-hak pengguna tidak diabaikan dengan mengekalkan kawalan sedia ada bagi melindungi pengguna, selain KPDNHEP akan menjalankan pemantauan berterusan terhadap jualan murah, bagi mengelakkan peniaga membuat pernyataan palsu atau mengelirukan dalam iklan mereka.

“Kami berharap dengan penambahbaikan peraturan itu, aktiviti jualan murah akan menjadi semakin rancak dan mendorong ke arah suasana perniagaan yang mampan.

“Kami percaya jumlah penganjuran jualan murah yang tidak dihadkan juga akan meningkatkan daya saing dalam penawaran harga, yang secara tidak langsung membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :