AGENDANASIONAL

Jumlah mangsa banjir di Segamat semakin berkurangan

JOHOR BAHRU, 27 DIS: Keadaan banjir di daerah Segamat semakin pulih dengan jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan setakat jam 8 malam ini apabila satu dari dua PPS ditutup.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri Tan Chen Choon berkata PPS yang ditutup adalah di Dewan Kampung Tandong kira-kira jam 8 malam.

Beliau berkata dengan penutupan PPS berkenaan, mangsa banjir yang masih berada di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak kini berjumlah 30 orang daripada tujuh keluarga , berbanding 88 orang dari 20 keluarga di PPS berkenaan petang semalam.

“Setakat ini keadaan cuaca kelihatan baik di sekitar Segamat dan pemantauan terhadap banjir dilakukan dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini.

-BERNAMA


Pengarang :