Kapal Bugis di Pantai Tanjung Harapan, Pelabuhan Klang yang akan dinaik taraf tahun depan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Kapal Bugis Tanjung Harapan dinaik taraf tahun depan

PELABUHAN KLANG, 22 DIS: Replika kapal Bugis yang menjadi mercu tanda Pantai Tanjung Harapan akan dinaik taraf dengan kos kira-kira RM1 juta pada 2020.

Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) Zon 44A, Kamaruzaman Adnan berkata kos itu termasuk membaik pulih kemudahan insfrastruktur di kawasan berdekatan.

“Sebolehnya MPK dan Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang mahu lokasi berkenaan menjadi tarikan dalam kalangan pelancong yang datang ke Selangor terutama Pelabuhan Klang.

Kamaruzaman Adnan. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Apabila mercu tanda ini kembali pulih, mungkin ada pelancong tempatan mahupun luar yang datang beranggapan tidak lengkap percutian mereka jika tidak bergambar di sini,” katanya kepada SelangorKini yang ditemui pada Karnival Pentas Lokal di sini.

Kamaruzaman berkata kapal Bugis itu pernah dibakar sebanyak dua kali oleh individu tidak bertanggungjawab yang dipercayai menggunakan kapal berkenaan sebagai tempat tinggal.

Katanya kejadian itu berlaku ekoran tiada penjaga yang memantau sehingga menyebabkan mercu tanda berkenaan menjadi mangsa vandalisme.

“Oleh itu, dalam perancangan MPK kita akan melantik penjaga untuk memantau mercu tanda berkenaan selepas kerja naik taraf siap dilakukan.

“Kerja ini perlu dilakukan kerana Tanjung Harapan menjadi tumpuan acara besar termasuk sambutan ambang tahun baharu,” katanya.


Pengarang :