Dr Siti Mariah Mahmud diiringi Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan bersama pemantun viral, Adik Mika melakukan gimik ketika perasmian Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) sempena Hari Diabetes dan Hari Kanak-Kanak peringkat MPSJ 2019 di Puchong Indah, Puchong pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Karnival 3W bakal diteruskan tahun depan

PUCHONG, 15 DIS: Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) bakal diteruskan lagi tahun depan dan penganjurannya mungkin dijalankan mengikut daerah di Selangor.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perubahan itu dirancang berbanding membabitkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu berikutan tempoh agak suntuk untuk pelaksanaan karnival berkenaan.

“Karnival 3W ini mungkin akan dilaksanakan namun ia hanya membabitkan sembilan daerah terpilih sahaja tahun depan.

“Kita akan tetap membabitkan PBT namun sebagai contoh dalam satu daerah ada tiga PBT, kita akan memilih salah satu untuk menjadi penganjur,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival 3W di Padang Awam Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Puchong Indah di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua MPSJ, Noraini Roslan.

Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan ucapan perasmian ketika Karnival 3W (Wellness, Welfare & Women) sempena Hari Diabetes dan Hari Kanak-Kanak peringkat MPSJ 2019 di Puchong Indah, Puchong pada 15 Disember 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Mengulas berhubung sambutan orang ramai terhadap karnival itu, Dr Siti Mariah berkata, masih terlalu awal untuk diukur namun pihaknya akan mengkaji keberkesanannya selepas ini.

“Pelaksanaan karnival ini juga bergantung kepada impak diberikan orang ramai,” katanya.

Karnival 3W melabuhkan tirainya pada tahun ini selepas menjelajah ke 12 PBT dan terakhir adalah MPSJ dengan tema “Hari Diabetes dan Kanak-kanak”.

Berdasarkan rekod, ia memulakan sesi jelajah pada 10 Februari lalu di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah, dekat sini.

Karnival 3W diperkenalkan bagi mempromosi pelbagai bantuan dan khidmat ditawarkan Kerajaan Negeri kepada rakyat selain memfokuskan perkara berkaitan wanita, kebajikan dan kesihatan yang menjadi medan interaksi bersama masyarakat.


Pengarang :