PBTSELANGOR

Karnival bantu MPAJ promosi kempen bebas plastik

SHAH ALAM, 14 DIS: Karnival Kepenggunaan dan Keusahawanan peringkat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) diharap mampu mencapai matlamat utama mempromosi kempen bebas beg plastik serta polisterina dalam kalangan komuniti di Selangor.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, karnival sehari itu sebagai pendekatan meningkatkan kesedaran masyarakat dalam menjayakan kempen ‘Pelan Hala Tuju Malaysia Menuju Penggunaan Sifar Plastik 2018-2030’.

“Ini sekali gus dapat membantu mengatasi masalah pemanasan global yang semakin meruncing menerusi pendedahan secara menyeluruh berhubung isu kepenggunaan.

“Program ini turut memberi pendedahan kepada setiap lapisan masyarakat untuk mengendalikan sisa buangan yang boleh dikitar semula dan minyak masak terpakai bagi membantu sistem pembuangan sisa pepejal secara lebih teratur serta menjimatkan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program dirasmikan Ahli Dewan Negeri Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham di pekarangan letak kereta di Melawati Mall, Ampang dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Hilman menyifatkan penganjuran karnival berkenaan sebagai langkah membentuk budaya masyarakat lebih prihatin terhadap penjagaan kebersihan alam sekitar dan amalan kitar semula serta hak kepenggunaan.

“Ia dapat membantu merancakkan perkembangan ekonomi negara terutama golongan peniaga menjana pendapatan dengan hasil jualan mereka,” katanya.


Pengarang :